Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Azmin dulu lebih cenderung Pakatan Rakyat, tak sokong Dr M'
Diterbitkan:  Jun 17, 2019 11:54 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kenyataan menyokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dengan membangkitkan sumbangannya terhadap Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagaimanapun rakan seangkatan Syed Saddiq dalam Bersatu, Rais Hussin menyangkal beberapa perkara yang dibangkitkan Syed Saddiq dan mengkritik Azmin berkenaan peranannya dalam gabungan itu.

Mengulas tulisan menteri itu yang bertajuk 'PH amat terhutang budi pada Azmin', Rais yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu berkata "ia adalah naratif baru".

"Naratif sebenarnya ialah: Azmin lebih mahukan Pakatan Rakyat berbanding Pakatan Harapan.

"Azmin (sebelum ini) tidak menyokong @chedetofficial (Dr Mahathir Mohamad) sebagai pengerusi PH mahupun pencalonannya sebagai perdana menteri sebelum PRU ke-14," ciap Rais di Twitter.

Rais Hussin

Dalam tulisannya, Syed Saddiq menggambarkan Azmin - yang kini dibabitkan dengan dakwaan video seks - sebagai "individu yang mempunyai karakter teguh" dan "berjuang seperti seorang pemimpin sewaktu PRU ke-14".

Anggota parlimen Muar itu juga memuji langkah Azmin untuk bergabung dengan Mahathir dan lebih “mengutamakan kepentingan negara berbanding isu peribadi", dan PH "amat terhutang budi kepada semangat dan strateginya yang membawa kepada kemenangan".

Bagaimanapun bagi Rais kebenaran harus dinyatakan secara betul dan seadanya.

Rais turut berkongsi ciapan bekas menteri Zaid Ibrahim yang berkata beliau "bosan mendengar orang hipokrit yang meluahkan kejelikan mereka terhadap politik kotor (gutter politics)".

"Pertama sekali, tiada politik kotor, yang ada hanyalah ahli politik yang kotor. Kedua, saya hanya ingin tahu sama ada video itu benar atau palsu," ciap Zaid.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS