Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Wan Azizah perlu letak jawatan dulu untuk Anwar jadi PM'
Diterbitkan:  Jun 17, 2019 10:13 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Gesaan agar Presiden PKR Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri perlu didahului dengan peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dahulu, kata Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli.

Beliau yang juga adun Jeram berkata, gesaan berkenaan peralihan kuasa itu pada masa ini tidak masuk akal sama sekali memandangkan jawatan timbalan perdana menteri masih dipegang Wan Azizah.

"Gesaan berundur atau peletakan jawatan timbalan perdana menteri yang masih dipegang Wan Azizah perlu dibuat terlebih dulu bagi membolehkan pelantikan timbalan perdana menteri baru (seterusnya) diberi mandat meneruskan kepimpinan sebagai perdana menteri Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu peralihan kuasa timbul kembali apabila kumpulan Otai Reformasi menggesa Mahathir menetapkan garis masa untuk menyerahkan jawatan nombor satu kerajaan itu kepada Anwar.

Gesaan itu dibuat atas sebab prestasi pentadbiran yang menurut mereka semakin merudum.

Anwar bagaimanapun berkata beliau tidak setuju dengan cadangan itu dan menyifatkan soal tersebut adalah antara perdana menteri dengan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Mohd Shaid berkata isu pelantikan perdana menteri perlu melalui persetujuan dalam Majlis Presiden PH dan bukan daripada satu parti komponen sahaja.

"Isu sensasi dalaman PKR yang baru ini seharusnya tidak mengatikan mana-mana pihak antara pemimpin dalam PH, biarlah ia diselesaikan oleh pimpinan PKR sendiri. Keharmonian kerjasama dalam PH sangat penting," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS