Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pihaknya dalam PKR terlibat dalam penyebaran video seks yang dikaitkan dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.
Ketika ditanya pemberita berkenaan perkara itu, Anwar berkata tiada sebab untuk beliau mahupun penyokongnya berbuat demikian.
"Apa alasan untuk kita buat kerja itu? Kita daripada satu parti, daripada Pakatan Harapan (PH).
"Kalau perlu (jatuhkan Azmin) saya sudah ada perjanjian (untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri). Perdana menteri sudah mengatakannya (berkenaan peralihan kuasa) dan minggu lalu beliau sekali lagi mengatakannya," katanya ketika ditemui pemberita Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Port Dickson, semalam.
"Sudah ada fitnah, tak boleh jawab dengan fitnah," katanya lagi.
Dakwaan tersebut muncul ekoran cakap-cakap kedudukannya sebagai pengganti Dr Mahathir akan dicabar oleh Azmin.
Bagaimanapun Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata tiada perebutan kuasa antara beliau dan Azmin seperti yang didakwa sesetengah pihak termasuk pembangkang.
“Semua parti (komponen PH) memberi dukungan kepada saya. PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Jadi, tak ada masalah bagi saya,” katanya, yang menolak isu video tersebut akan memecah-belahkan partinya.
Penyebaran video itu kini dalam siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata pihaknya menjadikan kes itu sebagai keutamaan memandangkan ia melibatkan kepentingan nasional.
Jumaat lalu, polis menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam klip video tersebut dan menuduh Azmin sebagai seorang lagi lelaki yang dirakam di dalamnya. Azmin menafikan dakwaan itu.
Haziq disiasat di bawah empat seksyen, termasuk melibatkan tuduhan persetubuhan luar tabii dan menyebarkan bahan lucah, dan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Sementara itu Anwar juga menyatakan beliau tidak setuju dengan cadangan kumpulan Otai Reformasi agar Dr Mahathir memberikan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kepadanya.
"Saya tak setuju dengan pandangan mereka. Ini urusan perdana menteri dengan PH.
"Orang lain boleh beri cadangan, tetapi saya tak setuju (dengannya)," katanya lagi.
Beliau juga sekali lagi berkata tidak setuju dengan cadangan kumpulan itu agar Azmin bercuti daripada tugasnya sebagai menteri sementara terhadap video itu berjalan.