Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam klip video seks baru-baru ini, dibebaskan daripada tahanan polis susulan penahanannya semalam.
Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata, Haziq dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki hadir untuk membantu siasatan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan pihak berkuasa itu.
Terdahulu, Haziq dilihat duduk di belakang sebuah kereta Proton Beeza ketika meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 5.45 petang.
Pemuda berusia 27 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mengaku merupakan individu dalam video seks yang didakwa turut melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Beliau disiasat di bawah empat seksyen, termasuk melibatkan tuduhan persetubuhan luar tabii dan menyebarkan bahan lucah.
Susulan penahanan tersebut, Haziq dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini untuk menjalani pemeriksaan.
Azmin menafikan dirinya adalah individu dalam video tersebut, sebaliknya menyifatkan tuduhan itu adalah fitnah jahat untuk memusnahkan karier politiknya.
Ketika ditanya keadaan Haziq sepanjang tempoh ditahan, Ramesh berkata anak guamnya berada dalam keadaan baik.
“Dia bagus, dia ceria, saya juga tidak pernah jumpa dia kecuali dalam prosiding ini. Selepas dari ini dia akan jumpa saya bagi bincang jika ada kepeluan untuk ambil apa-apa langkah seterusnya," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi peguam Haziq, Sivahnanthan Ragava berkata buat masa ini anak guamnya mahu bersendirian dan enggan bertemu pihak media.