Minggu ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan rakaman klip video seks yang mana salah seorang pelakunya mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Ketua Angkatan Muda Keadilan A(MK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Azmin menafikan beliau merupakan individu dalam video itu dan menyifatkannya sebagai fitnah, namun kes itu kelihatan tidak akan berakhir begitu sahaja.
Video yang mengaitkan timbalan presiden PKR itu merupakan rakaman terkini dalam skandal seks membabitkan ahli politik Malaysia.
Dengan kemajuan teknologi pada masa ini, ahli-ahli politik menghadapi cabaran mereka.
Dari VHS ke telefon pintar
Skandal video seks pertama yang melibatkan ahli-ahli politik Malaysia bermula sejak tahun 1989, apabila pita VHS yang menggambarkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika itu, DP Vijandren mengadakan hubungan seks dengan beberapa wanita diedarkan kepada umum.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif The Star Wong Chun Wai, yang merupakan seorang wartawan ketika itu menyifatkan kualiti video seks pada era itu masih rendah terutamanya apabila diambil melalui kamera tersembunyi dan dalam cahaya yang samar.
19 tahun kemudian, kualiti video seks kamera tersembunyi telah diperbaiki apabila video seks hubungan sulit presiden MCA Chua Soi Lek terbongkar.
Bagaimanapun kaedah pengedarannya dibuat menerusi cakera VCD berbanding pita video seperti sebelum-sebelumnya.
Pada 2011, kualiti dan penyebaran video seks telah berubah dengan ketara.
Video yang didakwa memaparkan Anwar Ibrahim dengan seorang wanita yang dikeluarkan oleh trio Datuk T memiliki imej yang lebih jelas, dan dilihat secara meluas oleh pengguna internet.
Kini setelah 30 tahun sejak munculnya skandal video seks pertama ahli politik di Malaysia, imej sebegini boleh dilihat dan tersebar dengan mudah pada telefon pintar - yang lebih kecil daripada saiz pita VHS - dan tidak memerlukan pemain VHS besar dan set televisyen untuk tontonan.
Begitulah juga yang berlaku apabila video yang didakwa memaparkan individu mirip Azmin Ali muncul di WhatsApp dan dengan cepat disebarkan secara meluas melalui media sosial pada awal pagi Selasa lalu.
Meskipun siri pertama video itu memiliki kualiti yang rendah, imej pada klip video keempat yang dikeluarkan pada Rabu jauh lebih jelas.
'Deepfake'
Kemajuan teknologi turut memainkan peranan dalam penyebaran klip video lucah.
Walaupun sesuatu video itu memiliki kualiti lebih tinggi dan boleh tersebar secara meluas, kesahihan rakaman video itu boleh dipersoalkan dengan adanya teknologi "Deepfake".
Kecerdasan Buatan (AI) digunakan untuk menganalisis rakaman sebenar manusia, yang wajahnya kemudian ditindih pada video palsu bagi menghasilkan keputusan yang realistik.
Walaupun kaedah ini dilihat memerlukan bajet bertaraf Hollywood, teknologi Deepfake kini sebenarnya menjadi lebih mudah.
Salah satu laman web menyediakan khidmat video Deepfake dengan harga semurah AS$10.
Kualiti Deepfake juga semakin maju yang menjadikan ketulenannya lebih sukar untuk dikesan.
Bagaimanapun belum diketahui sama ada video yang didakwa memaparkan "Azmin" itu adalah tulen atau palsu.
Azmin sendiri telah menafikan video itu sebagai fitnah serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Bolehkah Azmin bertahan?
Vijandran juga menafikan dia adalah lelaki dalam pita seks yang terbongkar dan mendakwa ia dipalsukan oleh anak saudaranya S Ravindran - yang merupakan antara empat individu yang mencuri pita itu dari rumahnya.
Bagaimanapun, hal itu tidak cukup untuk menyelamatkan kerjaya politiknya yang tidak bertahan lama selepas skandal itu terbongkar.
Chua pula mengaku beliau merupakan lelaki dalam pita seks yang muncul pada tahun 2008.
Walaupun Chua pada mulanya meletakkan semua jawatan, beliau membuat kemunculan semula pada tahun yang sama dan akhirnya menjadi presiden MCA pada tahun 2010.
Tetapi nasib mungkin tidak begitu baik kepada Azmin.
Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania James Chin berkata satu-satunya cara bagi Azmin menyelamatkan dirinya adalah dengan membuktikan video itu palsu.
"Masyarakat Melayu adalah sangat konservatif, jadi terdapat double standard. Aktiviti homoseksual tidak diterima.
"Jika anda tertangkap dengan seorang wanita ia dianggap sebagai zina tetapi tidak begitu bagi kelakuan homoseksual," kata Chin kepada Malaysiakini.
"(Tuduhan liwat) Anwar tidak ada video. Hanya satu video yang didakwa melibatkan Anwar dengan seorang wanita, jadi aspek visual adalah penting," katanya.
Pandangan ini turut dikongsikan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff.
"Ia jauh lebih berat kerana hubungan sejenis adalah sesuatu yang tidak normal dan dianggap taboo berbanding hubungan berlawanan jenis," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata perbuatan liwat juga merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.
Kamarul Zaman berkata tuduhan terhadap Azmin sangat terperinci, manakala penafian beliau pula kurang meyakinkan.
"Perkara yang boleh Azmin Ali lakukan ialah dengan cuba memenangi persepsi rakyat melalui penafian terperinci yang lebih meyakinkan, sumpah dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Azmin mungkin mengalami nasib seperti bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik, yang melepaskan semua jawatan politik walaupun tidak didakwa atas tuduhan merogol gadis bawah umur pada tahun 1994.
Rahim berjaya membuat kemunculan semula dengan memenangi jawatan majlis tertinggi Umno pada tahun 2004, namun kerjaya politiknya tidak pulih sepenuhnya selepas dia meletakkan jawatan.
Kamarul Zaman berkata keadaan ini lebih sukar bagi Azmin kerana pendirian tegas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menolak mereka yang memiliki masalah moral yang rendah.
Chin bagaimanapun percaya jika video yang mengaitkan Azmin itu adalah tulen, hanya sokongan Mahathir boleh menyelamatkan menteri hal ehwal ekonomi itu.
Mahathir sebelum ini berkata beliau percaya video seks tersebut adalah palsu.
Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah memulakan siasatan terhadap video berkenaan.
Bagaimanapun, Chin berkata polis tidak pernah mendedahkan kepada umum hasil siasatan mereka terhadap video seks.