Polis telah menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai individu dalam video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan bahawa Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.30 petang tadi.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan di mana ketua pemuda PKR Santubong itu ditahan atau menjelaskan penahanan tersebut dibuat berdasarkan seksyen apa.
"Kenyataan media akan dikeluarkan kemudian," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam video pengakuannya, Haziq juga mendakwa seorang lagi individu dalam video itu ialah Azmin dan rakaman itu dibuat tanpa kebenarannya di sebuah hotel di Sandakan, 11 Mei lalu.
Azmin menyifatkan dakwaan itu sebagai percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Sementara itu peguam Haziq, Ramesh Kumar berkata beliau tidak tahu lokasi anak guamnya pada masa ini.
"Ketika kami sampai, orang KLIA (polis) berkata Bukit Aman sudah bawanya pergi. Apabila kami tanya siapa yang membawanya, mereka berkata ia hal berprofil tinggi dan tidak memberikan sebarang maklumat.
"Jadi saya telah meminta orang yang mengambil saya (untuk menjadi peguam Haziq) untuk membuat laporan polis berkenaan orang hilang kerana tiada maklumat," katanya kepada Malaysiakini.
Ramesh berkata beliau sedang dalam perjalanan ke Bukit Aman untuk memastikan sama ada Haziq ada di sana.
"Kami perlu tahu di mana dia akan direman esok," katanya lagi.