Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Otai Reformis gesa Dr M bagi garis masa peralihan kuasa

Kumpulan Otai Reformis menggesa Dr Mahathir Mohamad memberikan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui pemimpin PH sebelum ini.

Pengerusinya Dr Idris Ahmad berkata, gesaan itu dibuat kerana pihaknya melihat prestasi Putrajaya yang "merudum".

"Dalam setahun ini, nak terus terang, adakah masyarakat Malaysia puas hati tentang pentadbiran kerajaan di Putrajaya?

"Tahap keyakinan, pelaburan, ekonomi, menurun. Jadi berapa lama kita akan menunggu, sekurang-kurangnya kena ada garis masa (untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar).

"Jadi pelabur atau masyarakat akan tahu jika hendak membuat pelaburan dan sebagai," katanya pada sidang media di Bangsar hari ini.

Menjawab soalan pemberita, Dr Idris berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk turun semula ke jalan raya sekiranya Dr Mahathir gagal mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

'Semangat keadilan'

Dr Idris juga menyifatkan bahawa meskipun PH sudah membentuk kerajaan, "semangat keadilan" dalam pentadbiran baru di bawah Dr Mahathir semakin berkurangan.

“Ada kemungkinan kita akan kembali ke jalanan lagi. Dulu rambut kami hitam, sekarang sudah putih.

"Kita sudah sampai ke Putrajaya tetapi suara, budaya dan semangat keadilan sangat berkurangan.

“Benda yang tidak betul kami tegur, benda yang betul kami sokong. Teguran kita membina untuk Malaysia Baru,” katanya.

Anwar pada 15 Mei lalu berkata perbincangan berkenaan peralihan kuasa dengan Dr Mahathir berjalan dengan baik.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan tarikh peralihan kuasa itu.

Dr Mahathir sebelum ini berulang kali memberi jaminan akan menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pada Jan lalu, Dr Mahathir dipetik media sebagai menegaskan akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun atau "mungkin lebih sedikit".

"Mungkin lebih sedikit, tapi saya sudah janji, saya akan tunaikan janji," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, mengulas lanjut, Idris berkata pihaknya berharap Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan itu dengan kadar segera.

Kata Idris, memastikan Anwar menjadi perdana menteri adalah harapan dan matlamat perjuangan penubuhan Otai Reformis.

"Kami bukanlah ahli politik dalam parti politik. Saya bersama mereka (ahli Otai Reformis) sehingga berlaku reformasi.

"Kita mahu perdana menteri seterusnya mesti Anwar, selepas itu tidak penting,”katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS