Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, hari ini mengakui bahawa beliau ada berjumpa dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebelum Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama menteri itu.
"Betul," kata Hilman kepada pemberita di Putrajaya ketika disoal mengenai dakwaan Haziq bahawa mereka berjumpa di sebuah restoran di Marriot Putrajaya, sebelum video pengakuan bersumpah dikeluarkan semalam.
Bagaimanapun, Hilman enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan Haziq bahawa beliau memintanya untuk menafikan bahawa Azmin terbabit dalam video tersebut.
“Tak apa, saya dah serahkan semua kepada pihak polis.
“Kita biar polis siasat,” katanya.
Hilman yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diminta mengulas dakwaan Haziq di Facebook hari ini yang mendakwa Azmin mengarahkan mereka berjumpa di sebuah restoran di Putrajaya.
“Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.
“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.
“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata 'ini' akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” kata Haziq.
Hilman sebelum itu membuat laporan qazaf berkaitan isu penyebaran video lucah itu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya dan juga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Katanya, PKR akan memberi kerjasama sewajarnya kepada polis dan JAWI atas segala siasatan yang dilakukan.
“Insya-Allah saya yakin dan tegaskan pendirian saya bahawa keyakinan kami, ia tuduhan palsu dan fitnah jahat diadakan untuk menjejas reputasi dan keperibadian Azmin.
“Saya tegaskan lagi bahawa fitnah ini merupakan suatu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Azmin dalam politik,” katanya.
Azmin, semalam menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.
Semalam, Haziq yang mendakwa terlibat sama dalam video terbabit tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR.
Haziq turut mengulangi tuduhannya hari ini dan mendakwa ini bukan kali pertama mereka bersama.