Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yuran klinik swasta akan dibentang sekali lagi
Diterbitkan:  Jun 11, 2019 10:26 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Kabinet telah meminta cadangan menaikkan yuran konsultasi bagi pengamal perubatan am swasta (GPs) dibentangkan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau telah membentangkan perkara itu kepada kabinet tetapi diminta mengemukakannya ke majlis berkenaan sebelum keputusan dibuat.

"Saya pernah bentang pada 24 April, bukan ditolak oleh kabinet tetapi mahukan saya bentangkan semula kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, dan akhirnya akan saya bentang balik di kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi townhall dengan GPs di Putrajaya hari ini.

Pengamal perubatan yang memiliki klinik sendiri meminta yuran konsultasi dinaikkan supaya sepadan dengan pengamal perubatan di hospital swasta.

Sebelum ini, GPs meminta kerajaan menaikkan yuran konsultasi di klinik swasta antara RM10 dan RM35 sekarang kepada antara RM35 dan RM125.

Kali terakhir semakan dilaksanakan pada tahun 2006.

Terdahulu semasa sesi Town Hall tersebut, Setiausaha Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr G Shanmuganathan mempersoalkan mengapa Dzulkefly membawa cadangan itu kepada kabinet.

Katanya, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk membenarkan pelarasan bayaran di bawah Seksyen 107 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.

Dzulkefly mengakui perkara itu tertangguh dan menegaskan perlu membincangkannya secara kolektif meskipun mempunyai kuasa berbuat demikian.

"Saya beri jaminan saya akan buat yang terbaik bagi pastikan fee harmonisation ini dapat dilakukan kerana ini satu isu yang sangat outstanding.

"Ini jaminan saya - ada yang menuntut saya supaya guna seksyen 107, bagi menteri boleh saja prescibe the regulations (menetapkan peraturan).

"Tapi kami tekankan tentang collective effort (usaha bersama), terutamanya sebagai kerajaan baru yang menangani kos sara hidup rakyat kini, kita tidak mahu impak terhadap (golongan) khususnya B40," katanya.

Dzulkefly juga berjanji menangani beberapa isu melibatkan pengamal perubatan termasuk harga ubat-ubatan.

Lihat Komen
ADS