Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamid Bador: Kisah anak ‘mata-mata’ jadi IGP
Diterbitkan:  Jun 11, 2019 4:46 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah diwawancara oleh Bernama dalam temu bual eksklusif pertama beliau dengan media sejak dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada 4 Mei.

Bekas Pengarah Cawanan Khas itu bercakap mengenai pelbagai isu, termasuk keadaan sebelum dan selepas beliau mengambil alih jawatan No. 1 Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Tan Sri Fuzi Harun.

Berikut adalah petikan wawancara itu:

Soalan: Bolehkah Datuk Seri ceritakan sedikit sebanyak keadaan semasa Datuk Seri mengambil keputusan untuk bersara secara pilihan pada 2016 dan peristiwa yang berlaku selepasnya? Apakah perasaan Datuk Seri apabila diumum secara rasmi sebagai KPN?

Jawapan: Keputusan yang tepat saya (untuk bersara) kerana saya masih tidak dapat menerima keadaan yang berlaku ketika itu, saya rasa bersalah sekiranya saya meneruskan kerjaya saya dengan polis, jadi saya ambil keputusan untuk bersara, itu seiklhas-ikhlasnya dan selepas itu saya rasa saya tidak lagi perlu muncul di khalayak ramai dan saya tidak menunjukkan apa-apa tanda yang saya minat untuk mencampuri urusan dalam negara.

Itu keputusan yang terbaik untuk diri saya selama dua tahun lapan bulan saya bersara. Selepas sahaja 9 Mei PRU 14 lepas, saya tidak mempunyai apa-apa perasaan bahawa satu hari kelak saya akan dipanggil semula untuk bekerja dan saya rasa bersyukur telah berlaku perubahan. Saya menyandarkan harapan berlaku perubahan kelak akan membawa perubahan kepada negara, saya tidak meletakkan ‘expectation’, apa-apa harapan saya dipanggil untuk bekerja.

Panggilan mengejutkan

Panggilan yang mengejutkan tiba empat lima hari selepas itu apabila saya telah dipanggil oleh pegawai daripada JPM menyatakan saya dikehendaki datang ke Putrajaya di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana sebelum jam 3 petang dan ketika itu saya berada di kebun sayur saya.

Saya bergegas balik ke rumah untuk mencari pakaian yang sesuai untuk berjumpa dengan PM (Perdana Menteri)...saya memandu sendiri dari kampung saya di Rembau terus ke Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya, dan ketika itu Tun telah menyatakan kepada saya bahawa beliau berkehendakkan saya kembali bertugas membantu beliau dan menawarkan saya sebagai Pengarah Cawangan Khas. Saya telah maklumkan kepada Tun mungkin ada sedikit kekeliruan mungkin ada masalah dari segi teknikal sebab saya dah bersara, YAB Tun kata tak apa, dan beliau akan minta pihak KSN (Ketua Setiausaha Negara) ketika itu, JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk menyelesaikannya,

Itulah Tun nyatakan selepas 15 tahun beliau meninggalkan kerajaan, beliau balik menjadi PM, beliau mempunyai banyak masalah, sebab beliau tidak kenal siapakah kawan siapakah lawan, yang mungkin akan merencatkan apa jua perancangan yang ada pada beliau untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu yang dinamik mengikut kehendak beliau.

Tidak jangka jadi IGP

So (jadi), saya bersetuju dan selepas itu saya melaporkan diri dan saya diberikan satu dokumen untuk saya tanda tangan dan saya dapati kontrak yang ditawarkan pada saya adalah selama setahun sebagai Pengarah Cawangan Khas.

Mengenai jawatan KPN ini saya tidak menjangkakan.

Sebelum ini sudah dibayangkan kepada saya oleh YAB Tun, dan juga YB Menteri Dalam Negeri bahwa mereka berkehendakan saya menerajui PDRM di peringkat awal dan saya telah dengan segala penuh hormatnya menolaknya dan sebaliknya saya telah mencadangkan beberapa nama untuk meneruskan jawatan KPN dan Timbalan KPN.

Cadangan saya itu telah saya sampaikan secara peribadi kepada Tun dan YB Menteri Dalam Negeri, dan selepas itu saya tidak tahu, cerita mengenai jawatan saya ditawarkan KPN, timbul sekali lagi pada bulan 11, gosip di sana dan sini, dan cerita itu memang benar.

YB menteri sendiri yang menyatakan bahawa beliau mendapat arahan YAB PM yang berkehendakkan saya untuk menerajui PDRM, sekali lagi saya minta perkara itu dipertimbangkan.

Selepas itu pada bulan 4 lepas, apabila berita itu keluar dari Tun sendiri, saya rasa terkejut pun tidak, perkara ini telah dibincangkan sekian lama. Saya bersyukur diberikan perluang untuk saya memimpin PDRM ini, mengikut apa jua visi dan misi saya, saya bersyukur sebab diberikan peluang.

Mengembalikan keyakinan

Soalan: Selepas memegang jawatan KPN apakah perancangan Datuk Seri untuk membawa perubahan dan meningkatkan integriti dalam pasukan.

Jawapan: Yang pertama sekali yang ada dalam diri saya sekali, maklumlah saya ini anak polis, saya dilahirkan di berek polis, dibesarkan di berek polis, arwah bapa saya ini seorang konstabel ataupun mata-mata , asam garam dalam kehidupan seorang polis ini telah sebati dalam diri saya ini, so (jadi), yang saya dengar khususnya sewaktu saya berpencen hampir tiga tahun, banyak saya dengar suara-suara sumbang berhubung dengan hala tuju dan prestasi PDRM dan di situ terbentuk satu tekad dalam diri saya, alangkah indahnya kalau saya sendiri yang ada menerajui dengan 'feedback' (maklum balas) yang saya dapat daripada bawah, orang kampung, dapat saya menterjemahkan dapatan-dapatan itu dalam bentuk misi dan visi yang baharu dalam PDRM, itulah angan-angan yang ada pada saya, Alhamdulillah sekarang saya di sini (menjadi KPN).

Soalan: Apakah perancangan Datuk Seri dalam PDRM?

Jawapan: Misi pertama saya adalah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai kepada PDRM, memperbaiki imej PDRM, satu tugasan yang amat berat tetapi saya yakin, saya pun Alhamdulillah diberikan kesihatan yang baik, saya boleh bekerja lebih masa yang itulah yang akan saya tumpukan untuk mengembalikan imej PDRM. Untuk mengembalikan imej itu, banyak perkara yang terlibat bukan senang-senang saya jadi KPN akan luahkan di khalayak ramai, banyak kerja-kerja rentetan, kerja-kerja yang perlu dibuat.

Banyak kali dah saya sebutkan bahawa dalam 130,000 orang warga PDRM, saya yakin majoritinya adalah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai rendah yang pada asasnya mempunyai wawasan untuk hendak bekerja dengan sebaik-baiknya tapi ada kelemahan dari sudut kepimpinan yang menyebabkan mereka ini terkeluar daripada landasan tetapi saya tetap yakin majoriti warga PDRM ini bersiap-sedia, memang pada asasnya baik, bersiap-sedia untuk menerima apa juga dasar baharu, apa juga visi & misi yang akan saya tetapkan.

Kelemahan PDRM

Insya-Allah saya akan mendapat sokongan daripada mereka. So (jadi), itu yang penting sekali untuk mengembalikan imej, soal integriti sekiranya warga PDRM ini mempunyai integriti, di situ selesai masalah, masalah imej akan selesai begitu sahaja dengan semudah-mudahnya, sekiranya kesemua warga PDRM ini mengekalkan atau mengembalikan integriti, amanah, jujur & sifat-sifat yang mulia ini, saya yakin perkara ini boleh dicapai.

Soalan: Bagaimana dengan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam PDRM?

Jawapan: Berlaku kekaburan ke dalam interpretasi dalam gerak tindak polis ini dalam usaha hendak mengekalkan undang-undang ada berlaku kekaburan di situ, jadi, di mana salah di mana yang betul, jadi, saya sebagai KPN saya akan menjelaskan kepada semua bahawa ada garisan di situ yang jelas menunjukkan ini benar, yang ini salah, tidak ada lagi ‘grey line’, garisan kabur di tengah-tengah, segala tindakan polis tersebut mestilah berlandaskan undang-undang sekiranya undang-undang itu mengatakan itu salah, salahlah dia tidak ada 50-50 di situ, saya akan berusaha ke arah itu.

Saya bagi contoh undang-undang itu tidak mengenal warna kulit, tidak mengenal agama, tidak mengenal asal keturunan, kedudukan, di situ undang-undang itu dapat diterjemahkan dan dikuatkuasakan berlandaskan prinsip-prinsip ini tadi, maka amanlah negara ini.

Unsur-unsur bias

Sekiranya ada unsur-unsur bias, menyebelahi satu kumpulan politik misalnya, satu kumpulan kaum, satu kumpulan penganut agama, satu kumpulan mengikut wilayah, negara akan pincang. Dalam hendak menuju ke negara yang maju ini, kita sebenarnya sudah sampai ke tahap itu, negara kita memang aman, maju, tetapi pemikiran masih di takuk lama, yang itu hendak saya kikiskan, pemikiran moden pun tidak bercanggah mana-mana pemahaman agama pun.

Soalan: Dalam masa terdekat Datuk Seri telah memecah kebuntuan mengenai IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) setelah sekian lama tertangguh. Apakah rahsianya ?

Jawapan: Berhubung dengan IPCMC ini, apabila ia mula disuarakan selepas pada tahun 2015, jika tak silap saya, sewaktu itu suara2 berkehendakan satu bentuk siasatan dijalankan ke atas PDRM, berikutan terlalu banyak aduan-aduan dan salah laku, memang ketika itu berkumandang di mana-mana sahaja. Saya secara peribadi mengatakan bahawa suara-suara yang mengkritik ini memang ada asasnya, tetapi di waktu itu juga saya merasai bahawa PDRM ini perlu diberikan haknya sebagaimana dalam kontrak kita dengan kerajaan, kerajaan menawarkan kita skim perkhidmatan sebegini, kerajaan menawarkan suasana kebajikan begini, kerajaan akan menyediakan prasarana begini, so kedua-kedua ini akan berjalan dengan serentak, maknanya PDRM ini dibela dan diberikan hak-haknya sebagai agensi penguat kuasa utama negara ini di waktu yang sama menjadi tanggungjawab PDRM memberikan kepada rakyat, orang ramai perkhidmatan yang terbaik sebagaimana yang ditetapkan undang-undang itu sendiri. Kedua-duanya harus berjalan serentak.

Jadi semua harus sedar orang ramai pun faham, keadaan PDRM sekarang dan warga PDRM itu sendiri mesti sedar bahawa mereka diberikan gaji, diberikan kuasa, kemudahan yang ada ini, mereka diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik...jika kedua-dua ini dapat berjalan serentak, maka bertambah majulah negara kita ini.

Dosa besar

Jika penguatkuasaan undang-undang itu pincang di mana polis boleh dibeli, perkhidmatan polis ini boleh dibeli menerusi rasuah, berlaku ketidakadilan, mesti akan wujud satu pihak yang tidak berpuas hati, satu pihak yang teraniaya, jadi ini tidak baik, sekiranya kita ingin sampai ke tahap negara yang maju, kita mesti mempunyai sistem perkhidmatan kepolisan yang baik, setimpal, kita lihatlah negara-negara yang maju seperti di Eropah, Jepun, Korea, Hong Kong bagaimana polis memberikan perkhidmatan yang baik kepada negara mereka.

Soalan: Dalam membanteras rasuah dalam PDRM, apakah langkah-langkah baharu yang dirancang?

Jawapan: Pada waktu yang lepas ada juga usaha yang dibuat membanteras gejala rasuah dalam PDRM ini tapi dengan saya akan memberikan keutamaan dan langkah pertama sekali adalah untuk menyedarkan mereka kembali dan nyatakan kepada mereka bahawa rasuah ini adalah satu dosa yang besar. Kita ada tanggungjawab menerusi kuasa yang diberi dan kepada kita itu amat suci, kita yang nodai jadi satu dosa yang besar, saya hendak menjelaskan kepada warga PDRM di bawah bahawa mereka harus ada perasaan, kesedaran dalam diri bahawa apa juga wang yang mereka peroleh dengan cara yang salah ini tidak halal untuk diberikan kepada keluarga mereka, untuk hendak membesarkan keluarga dan saya akan menimbulkan kesedaran di kalangan mereka bahawa ini adalah satu perbuatan yang amat jijik sekali.

Dalam 10-10 jabatan PDRM, dalam kesemua jabatan PDRM termasuklah Cawangan Khas ini...jadi yang inilah harus dikekang dan selepas itu saya akan bertindak untuk menutup seberapa banyak ruang yang selama ini kabur, antara boleh dan tidak boleh.

Hubungan dengan tauke judi

Soalan: Sebelum ini Datuk Seri telah beri amaran kepada anggota untuk tidak ada hubungan atau berkawan dengan tauke-tauke judi, sejauh mana mereka patuhi arahan ini?

Jawapan: Dalam perkara ini saya serius dan saya dapat maklum balas yang amat positif daripada yang saya sebutkan tadi, majoritinya pegawai dan anggota memang berjiwa bersih. Mereka terima dengan baik arahan saya berikan.

Kita perlu ingat dalam mana-mana masyarakat khususnya di negara kita ini, kegiatan judi ini adalah punca kepada percambahan kes-kes jenayah lain, dia ‘breed crime’ (membiakkan jenayah) sebenarnya, bayangkanlah anak-anak muda yang berumur belasan tahun ini yang terjebak dengan judi ini mereka akan dalam keadaan terdesak mula melakukan jenayah kecil mencuri daripada mak bapak, mencuri apa jua yang berada di dalam rumah, mencuri (barang) jiran, memecah kereta, curi motosikal semata-mata hendak mendapatkan duit untuk memenuhi ketagihan untuk berjudi .

PDRM berperanan untuk mengesan, mencegah jenayah tetapi kita biarkan aktiviti judi ini jadi berleluasa, saya hendak perkara ini dihentikan.

Sekiranya kita tidak bertindak untuk mengekang perkara ini apalah beza kita dengan mereka (tauke judi) ini. Saya telah mula mengambil tindakan dan Insya-Allah saya tidak akan berpatah balik.

‘Security business is not cheap’

Saya hendak setiap warga PDRM ini mengambil tindakan yang tegas ke atas premis-premis judi dan saya tidak mahu mendengar lagi di peringkat bawah sahaja yang ditangkap dan diambil tindakan, sedangkan tauke-tauke yang memang dikenal pasti pun tidak diambil tindakan.

Soalan: Dari segi kakitangan PDRM 130,000 ini, adakah difikirkan sentiasa perlu bertambah atau mencukupi?

Jawapan: Saya berpandangan bahawa apa yang ada sekarang mencukupi buat masa ini. Semua jawatan yang diluluskan dan dipenuhi JPA itu mencukupi buat masa ini, saya faham keadaan kerajaan ketika ini, tetapi ‘security business is not cheap’ (perniagaan kawalan keselamatan bukannya murah).

Ambil contoh jika kita persatuan-persatuan penduduk di taman-taman kalau mereka memilih untuk mendapatkan perkhidmatan yang murah, dapatlah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang grednya 30 peratus tetapi kalau dia bersedia untuk berbelanja lebih, dia akan dapat syairkat kawalan keselamatan yang berdaya memang baik, berkualiti dan menempatkan ‘security guard’ (pengawal keselamatan) yang dilatih.

Jadi kerajaan perlu berbelanja lebih...ini berlaku di seluruh dunia, begitu juga dengan PDRM, merayu kepada kerajaan untuk memberikan lebih ‘allocation’ (peruntukan). Insya-Allah sebagai KPN, saya akan berusaha memastikan tidak akan berlaku penyelewengan dalam ‘allocation’ yang diberikan sebagai mana yang diuar-uarkan sebelum ini.

Tidak sampai ke bawah

Banyak yang diluluskan tetapi tidak sampai ke bawah, berlaku penyelewengan di peringkat negeri dan kontinjen di mana kasut-kasut dan ‘uniform’ (pakaian seragam) tidak sampai ke bawah, anggota dan pegawai terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menampung kos. Untuk menuntut balik bayaran mereka membeli resit.

Itu tidak cantik dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku, sekiranya bekalan itu telah sampai, bekalan itu hendaklah diagihkan dan terus diberikan kepada anggota di bawah itu. Saya akan mengemaskinikan logistik dalam PDRM.

Soalan: Banyak diperkatakan mengenai kebajikan PDRM berada di tahap mana?

Jawapan: Dalam lawatan-lawatan saya, saya lihat berek-berek memang teruk, memang daif, empat unit yang sepatutnya boleh menempatkan empat keluarga rosak, sepatutnya pembaikan tidaklah semahal mana.

Saya melihat berek dan bertanya kepada mereka, dalam lawatan-lawatan macam ini, kita akan dapat feedback (maklum balas) yang seikhlas-ikhlasnya tanpa dia takut ada OCPD di sebelah apabila hendak cakap.

Gaji rendah

Dia dapat cakap terus terang dengan saya, masalah gaji rendah, bayangkanlah ada satu keluarga, seorang konstabel, isteri tidak bekerja, anak dua orang, susu anak je dah berapa? Jadi, belanja makan harian dia dah berapa? Apabila ditanya gajinya RM2,000 lebih, ditolak itu, ditolak ini, tinggal berapa sahaja untuk sebulan, perit tak? Duduk di tengah kota, serai pun kena beli. Kalau kita duduk di kampung, boleh tanam serai, jadi itulah keperitan.

Saya minta kerajaan untuk consider (mempertimbangkan) balik (gaji) untuk anggota bawahan, sebagaimana ia dinikmati oleh polis Jepun, polis Hong Kong, polis Singapura, New Zealand, Australia, dan di negara-negara maju lain...dengan cara ini sahaja, dengan meningkatkan gaji mereka ini dapat mengurangkan risiko rasuah dan godaan melakukan kesalahan ugut orang lain untuk mendapatkan duit.

Dapatlah kerajaan menimbangkan perkhidmatan PDRM ini sebagai istimewa sebab mereka ini dibebankan dengan satu kuasa cukup luas... itu bahaya... apabila mereka ini tidak dapat ganjaran yang sebaiknya, kecenderungan mereka melakukan jenayah ini amat luas sekali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS