Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fuziah: Lynas masih belum dapat 'dibersihkan'
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Lynas Malaysia Sdn Bhd masih belum dapat 'dibersihkan' daripada dakwaan menghasilkan sisa berbahaya, kata Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Fuziah berkata, pengesanan pencemaran air bawah tanah memerlukan ‘kaedah pemantauan yang lebih kerap, berpanjangan dan secara tenikal’.

“Kesimpulan hanya boleh dibuat setelah ada statistik meyakinkan berdasarkan beberapa jenis sampel yang diambil secara berulang kali di sepanjang musim untuk mengambil kira faktor perubahan musim.

“Pencemaran jenis ini mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan awam dan persekitaran untuk jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fuziah berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Lynas minggu lalu bahawa dakwaan operasi Lynas di Gebeng menghasilkan sisa berbahaya terbukti salah.

Dakwaan itu berikutan kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar bulan lalu bahawa air bawah tanah di sekitar loji Lynas sudah tidak lagi dicemari logam berat.

Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Dr Nagulendran Kangayatkarasu juga membuat kenyataan bahawa peningkatan mendadak bacaan logam berat dalam air bawah tanah sekitar loji Gebeng tidak berpunca daripada Lynas.

“Kenyataan ini konsisten dengan hasil pemantauan dan analisis air bawah tanah oleh Lynas Malaysia,” kata syarikat itu.

Dalam kenyataannya, Fuziah berkata Lynas sentiasa menafikan bahawa operasinya menyebabkan pencemaran logam berat yang serius.

Bagaimanapun, kata Fuziah, data yang diambil untuk jangka masa 12 bulan sejak September 2015 daripada stesen pemantauan air bawah tanah syarikat tersebut sendiri menunjukkan sebaliknya.

“Memanglah Lynas tak akan mengaku terhadap pencemaran tersebut, sebab jika mengaku, nanti dialah yang kena bertanggungjawab terhadap pencemaran tersebut.

“Sebagai syarikat perlombongan nadir bumi yang dikatakan agak baru, masa depannya bergantung pada kebolehannya untuk menyembunyikan masalah sebenar yang sedang dihadapinya di Malaysia," katanya lagi.

Fuziah turut memberitahu sisa Lynas mengandungi unsur radioaktif semulajadi (Norm) yang dianggap radioaktif di Australia.

“Kebanyakan racun juga didapati secara semulajadi, jika dilepaskan ke persekitaran atau badan kita, kita akan diracun.

“Logik yang sama juga boleh kita gunakan terhadap sisan Norm (radioaktif semulajadi)  Lynas,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS