Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan SPRM: PM sedar beliau pimpin Malaysia Baru, kata Hanipa
Diterbitkan:  Jun 7, 2019 9:28 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedar bahawa beliau memimpin 'Malaysia Baru' di bawah PH dan bukannya kerajaan lama di bawah BN.

Justeru, ahli parlimen Sepang itu yakin Dr Mahathir dan anggota kabinet akan menyelesaikan isu pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM secara berhemah.

"Sebagai sebuah kerajaan yang amat peka pada roh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, kerajaan di bawah perdana menteri, saya percaya, tidak akan perlecehkan begitu sahaja suara-suara (kritikan) tersebut.

"Saya juga percaya kerajaan 'Malaysia Baru' ini bukanlah kerajaan yang memandang enteng terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin kerajaan sebelum ini

"Saya juga percaya perdana menteri juga penuh sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baru di bawah PH dan bukan memimpin Malaysia di bawah order lama BN," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hanipa memberikan contoh pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen (PAC) yang turut menyaksikan percanggahan pendapat antara pemimpin PH apabila perdana menteri pada mulanya mahu mengekalkan Ronald Kiandee.

Desakan untuk menukar Kiandee timbul kerana bekas pemimpin Umno itu sudah menyertai parti komponen PH, yang dilihat bercanggah dengan janji manifesto PH agar jawatan itu diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Desakan itu turut menyaksikan Ahli Parlimen PKR Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan dalam PAC.

Kemelut berhubung jawatan pengerusi PAC berakhir dengan kerajaan memutuskan menggantikan Kiandee dengan anggota parlimen pembangkang, Noraini Ahmad.

Keistimewaan perdana menteri

Hanipa membuat kenyataan itu sebagai mengulas pelantikan Latheefa yang mendapat kritikan beberapa pihak yang menyifatkan ia membelakangkan janji dalam manifesto PH untuk memastikan pelantikan seumpamanya melalui Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Dr Mahathir juga perlu sedar bahawa jawatan perdana menteri mempunyai "keistimewaan-keistimewaan tertentu" yang tidak ada pada jawatan lain.

"Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat perdana menteri menyalahgunakan hak istimewa tersebut dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh disalahgunakan," tambahnya.

Dr Mahathir sebelum ini mengakui keputusan memilih Latheefa bagi jawatan itu dibuatnya sendiri tanpa berbincang dengan kabinet dan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen.

Susulan itu, Badan Peguam Malaysia semalam menyatakan kebimbangan tentang pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru yang disifatkan menimbulkan persepsi bahawa ia dibuat berdasarkan sokongan politik.

Sementara Bersih menyifatkan proses pelantikan itu menunjukkan tanda-tanda penyalahgunaan kuasa dan menggesa pelantikan seumpanya diinstitusikan dan melalui Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen.

Beberapa pemimpin politik termasuk kalangan PH turut menyatakan kegusaran berhubung proses pelantikan itu, dengan Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh mengingatkan bahawa janji PH dalam menifesto berhubung pelantikan awam adalah bagi mengekang kuasa budi bicara perdana menteri yang luas.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berpendapat Dr Mahathir perlu menjawab kritikan berhubung pelantikan Latheefa.

Latheefa Koya

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong semalam mempertahankan tindakan Dr Mahathir melantik Latheefa secara bersendirian dan menyifatkan bahawa ia dibuat berdasarkan undang-undang.

Pelantikan Latheefa dibuat berdasarkan kontrak selama dua tahun sehingga 1 Jun 2021 sebagai menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatannya dipendekkan.

Pelantikan Latheefa turut dipersoalkan susulan latar belakang peguam itu sebagai ahli PKR yang pernah memegang beberapa jawatan termasuk ketua biro perundangan dan majlis kepimpinan pusat.

Latheefa sudah meletakkan jawatan selepas mendapat tahu mengenai pelantikannya, namun tindakan itu disifatkan tidak mengubah persepsi ramai tentang sokongan politiknya.

Sementara itu, mengulas lanjut, Hanipa berkata kebanyakan mesej dan aduan yang diterimanya berhubung pelantikan berkenaan bukanlah mempertikaikan kewibawaan Latheefa.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Sepang itu, kebanyakannya mesej dan aduan berkenaan lebih berkisar kepada isu proses pelantikan tersebut.

"Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya, isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku manifesto PH, isu ketiadaan perbincangan dalam kabinet dan/atau majlis presiden PH, isu kebimbangan 'lack of impartiality' (keberpihakan) di pihak saudari Latheefa mengambil kira latar belakang beliau, dan pelbagai isu yang lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS