Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan SPRM: Kuasa mutlak tak baik untuk demokrasi, kata Bersih
Diterbitkan:  Jun 6, 2019 2:27 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, dengan menyifatkan proses lantikan itu menunjukkan tanda-tanda penyalahgunaan kuasa.

"Bersih rasa terganggu dengan proses Latheefa dilantik kerana ia menunjukkan kelemahan struktur dalam tadbir urus kerajaan dan membuat penyalahgunaan kuasa tidak dapat dielakkan.

"[...] Meskipun undang-undang membenarkan perdana menteri menasihati Yang Dipertuan Agong untuk melantik sebarang pilihan beliau, kuasa yang hampir mutlak di tangan perdana menteri tidak begitu baik untuk sistem pemerintahan demokrasi parlimen kita.

"Bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan kuasa yang sama untuk melantik sekutu beliau dalam jawatan-jawatan penting untuk melepaskan diri daripada siasatan skandal 1MDB dan kekal berkuasa," kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama Bersih mengakui bahawa Latheefa seorang yang mempunyai prinsip, berani dan tegas sebagai aktivis dan peguam.

"Kualiti seperti itu diperlukan dalam menerajui SPRM dan menangani rasuah di negara ini," katanya.

Dr Mahathir semalam mengakui bahawa beliau tidak berunding dengan kabinet dalam melantik Latheefa - yang disifatkannya sebagai berperwatakan tegas - sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Sementara itu, Bersih juga menggesa amalan sedemikian dihentikan untuk membolehkan badan-badan seperti SPRM berfungsi secara bebas.

"Bersih menyeru kerajaan PH untuk menyelaras undang-undang bagi memastikan kebebasan institusi-institusi ini sesegera mungkin, sekurang-kurangnya pada sidang Dewan Rakyat pada Julai.

"Jika pelantikan tidak diinsitusikan, ada risiko semua pelantikan yang baik setakat ini boleh dibatalkan dalam satu hari jika perdana menteri seterusnya menginginkan demikian.

"Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh harap dan bergantung kepada niat baik dan perdana menteri semata-mata, tetapi kita memerlukan institusi dan proses yang kuat dan bebas agar seimbangkan perdana menteri dan semua pegawai awam yang bertanggungjawab," katanya.

Jelas Bersih, proses pelantikan bermula dengan jawatankuasa pencalonan yang akan mendapatkan cadangan dari semua pihak yang berkepentingan, termasuk orang awam, dan calon yang disenarai pendek.

Seterusnya, Bersih berkata, senarai pendek itu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk mengesyorkan calon yang dipilih kepada perdana menteri atau Yang Dipertuan Agong.

Cara itu, tambahnya, akan memberi keabsahan kepada individu yang dilantik.

Menteri kabinet dan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama sebelum ini mengesahkan bahawa mereka tidak dimaklumkan berhubung pelantikan Latheefa sehingga ia dilaporkan media.


Berita berkaitan:


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS