Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam: Keluar parti tak ubah persepsi sokongan politik Latheefa
Diterbitkan:  Jun 6, 2019 12:46 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Badan Peguam Malaysia menyatakan kebimbangan tentang pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru yang disifatkan menimbulkan persepsi bahawa ia dibuat berdasarkan sokongan politik.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata peletakan jawatan Latheefa dalam PKR selepas mengetahui pelantikan berkenaan tidak mengubah persepsi berkenaan.

"Peletakan jawatan Latheefa sebagai ahli PKR tiga hari lalu selepas dimaklumkan tentang pelantikannya tidak mengubah persepsi awam yang melihat pelantikannya jelas atas dasar sokongan politik memandangkan PKR merupakan komponen utama dalam kerajaan persekutuan, dan mempunyai perwakilan dalam beberapa kerajaan negeri.

"Era pelantikan politik seharusnya berakhir pada hari rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Latheefa sebelum ini pernah memegang jawatan dalam jawatankuasa kepimpinan pusat PKR dan merupakan ketua biro perundangan parti itu.

Sebelum dilantik ke jawatan barunya, Latheefa merupakan pengasas dan pengarah NGO Lawyers for Liberty.

Abdul Fareed juga mempersoalkan kenapa pelantikan Latheefa tidak melibatkan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen bagi Pelantikan Jawatan Awam Utama.

"Meskipun jawatankuasa pemilihan parlimen tidak mempunyai kuasa undang-undang, penubuhannya penting untuk memastikan pelantikan jawatan utama dalam kerajaan dibuat secara telus, dan untuk berkhidmat sebagai semak dan imbang kepada eksekutif, selari dengan janji yang dibuat (PH) dalam manifesto pilihan raya.

"Maka tiada alasan jawatankuasa itu tidak dimaklumkan untuk mengkaji pemilihan ketua pesuruhjaya baru SPRM.

"Situasi ini tidak memberi gambaran baik terhadap usaha kerajaan mengamalkan ketelusan, akauntabiliti, integriti dan pentadbiran yang baik, yang merupakan sebab PH dipilih rakyat menjadi kerajaan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau sendiri melantik Latheefa tanpa berbincang dengan kabinet.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa pelantikan Latheefa dibuat dengan mengambil kira perwatakan tegas peguam itu.

Pengerusi PH itu juga menyifatkan janji dalam manifesto PH untuk tidak membuat pelantikan politik sebagai tidak adil kepada penyokong PH yang bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu sebelum ini.

Abdul Fareed turut berkata Latheefa tidak mempunyai pengalaman dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Ramai yang maklum Latheefa merupakan peguam selama 18 tahun, tanpa pengalaman sama sekali dalam agensi penguatkuasaan.

"Tanpa mengabaikan kelayakan Latheefa sebagai peguam hak asasi dan aktivis, tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM memerlukan pengetahuan dalam penyiasatan penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Fareed menggesa kerajaan menjelaskan sebab pelantikan itu dan terus memegang janji manifestonya.

"Badan Peguam Malaysia menggesa pihak yang berkaitan untuk menjelaskan perkara penting ini, bagi menjamin keyakinan orang awam dalam kebebasan institusi dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.

"Kerajaan tidak boleh terus berkata bahawa manifesto berkenaan tidak mengikat (binding), kerana ikrar dalam manifesto itu dibuat bagi meyakinkan rakyat untuk mengundi PH," katanya.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS