Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Latheefa perlu buktikan boleh bertugas tanpa memihak
Diterbitkan:  Jun 6, 2019 10:44 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Dalam mengalu-alukan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, PAS menggesa peguam itu membuktikan bahawa dia boleh melakukan tugas tanpa memihak.

"PAS yakin Latheefa Koya adalah seorang yang berkelayakan dan berperwatakan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.

"Walau bagaimana pun beliau perlu membuktikan dengan lebih jelas bahawa beliau boleh melaksanakan tugas jawatan tersebut dengan ‘tanpa takut atau memihak’ (without fear or favour) demi memerangi gejala rasuah di semua peringkat," kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hari ini.

Kenyataan terbaru itu hadir meskipun pemimpin PAS sebelum ini dilihat mengkritik pelantikan Latheefa.

Naib Presiden PAS Iskandar A Samad misalnya berkata beliau menanggap laporan mengenai pelantikan peguam dan pemimpin pusat PKR itu sama ada sebagai berita palsu atau jenaka menjelang Aidilfitri.

Adun Cempaka itu juga berkata, di bawah Latheefa integriti SPRM akan diragui jika berlaku pendakwaan atau kes yang tidak diambil tindakan meskipun beliau berlaku adil kerana Latheefa merupakan ahli politik.

Pelantikan Latheefa berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Pelantikan itu dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan peguam itu kerana sebelum ini merupakan ahli PKR dan pernah memegang jawatan dalam parti.

Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Sementara Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen dan menteri kabinet mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji bahawa pelantikan utama dalam agensi termasuk SPRM perlu diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai.

Latheefa, seorang peguam dan bekas ahli PKR, menggantikan Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir mengesahkan bahawa tanpa berbincang dengan kabinet, beliau sendiri yang memilih Latheefa bagi memegang jawatan itu.

Dr Mahathir berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perwatakan tegas Latheefa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS