Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Latheefa bukan lagi ahli PKR - Saifuddin
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Ibu Pejabat PKR sudah menerima surat pengunduran Latheefa Koya sebagai ahli parti itu, Isnin lalu, susulan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata surat tersebut melalui e-mel ditujukan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

"Berhubung statusnya sekarang ketika saya memberi kenyataan ini, kami menganggap beliau bukan anggota parti," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Kompleks di Seri Perdana, di sini hari ini.

"Oleh kerana Anwar baru kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan Umrah, beliau tidak membaca e-mel tersebut," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Abdullah, berkata pelantikan Latheefa dibuat mengikut saluran yang memenuhi keperluan perlembagaan.

"Beliau juga melepaskan keanggotaannya dalam PKR. Jadi pada saya beliau telah memenuhi syarat-syarat utama yang diperlukan," katanya yang juga Menteri Luar.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebihawal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

- Bernama

Berita berkaitan:

Pelantikan Latheefa: Kadang-kadang perlu ada kejutan, kata Dr M

Dr M: Saya sendiri pilih Latheefa, tak bincang dengan kabinet

Azmin yakin pelantikan Latheefa berdasarkan merit

Saifuddin sahkan lantikan Latheefa tidak dimaklumkan kepada kabinet, PKR

J'kuasa parlimen boleh minta k'jaan jelaskan pelantikan SPRM

10 dari 13 ketua pesuruhjaya SPRM dilantik dari luar, kata timbalan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS