Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Dari 45 kamera AWAS, hanya 4 berfungsi
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 2:19 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dikatakan tidak dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tentang sejumlah besar kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) atau dahulu dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang tidak berfungsi kerana bimbang ia mencetuskan kemarahan menteri itu.

Daripada 45 kamera yang dipasang, hanya empat yang dikatakan berfungsi, lapor The Malaysian Insight hari ini.

Laporan itu memetik sumber yang berkata bahawa kamera berkenaan tidak berfungsi kerana JPJ tidak mempunyai kepakaran menyelenggara peralatan berkenaan sejak jabatan itu mengambil alih fungsi berkenaan September tahun lalu.

Empat kamera yang berfungsi adalah di kilometer 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan tiga yang lain sepanjang Lebuhraya Pantai Timur, kata sumber.

“Kamera (selebihnya) itu hanya menjadi ‘gajah putih’ selepas JPJ mengambil alih operasi AWAS sejak 1 September tahun lalu," kata sumber.

Kesemua 41 kamera yang lain masih di lokasi asal meskipun tidak boleh berfungsi, kata sumber.

Sebuah kamera perangkap kelajuan di Ayer Keroh, Melaka dikatakan tidak berfungsi selama lebih lapan bulan selepas dilanggar oleh lori.

Sementara itu, sumber berkata terdapat kira-kira 115 kamera jenis mudah alih di stor pejabat syarikat milik penuh kerajaan yang diperbadankan, AES Solutions Sdn Bhd (AES Solutions) di Subang.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan ulasan daripada JPJ berhubung perkara ini.

Tahun lalu, JPJ membatalkan kontrak Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd bagi operasi dan penyelenggaraan kamera berkenaan yang diberikan kerajaan terdahulu.

JPJ mengambil ali operasi dan penyelenggaraan kamera berkenaan dan seterusnya menukar nama AES kepada AWAS.

Kerajaan PH juga membatalkan semua saman AES berjumlah RM435 juta di bawah pentadbiran lama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS