Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mara Patani minta masyarakat tempatan, a'bangsa sokong proses damai

GLOBAL | Majlis Syura Patani (Mara Patani) meminta masyarakat Pattani dan antarabangsa menyokong proses damainya dengan kerajaan Thailand.

Menurut pengerusinya Awang Jabat, sokongan dan dokongan terhadap proses damai itu akan memastikan perkara-perkara pokok dapat diketengahkan di meja rundingan antara kedua pihak.

"Hantarlah sebarang cadangan dan pandangan melalui saluran tertentu yang tersedia.

"Hasil akhir kedamaian hanya akan dapat dicapai melalui proses damai hakiki oleh kedua-dua pihak dengan jujur dan ikhlas yang ingin melihat penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh untuk bumi dan rakyat Pattani seluruhnya," katanya hari ini dalam perutusan Aidilfitri yang akan disambut esok.

Sejak beberapa tahun lepas, Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan pejuang di selatan Thailand telah mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand bagi mencari titik noktah kepada konflik yang telah berlarutan sejak 2004 itu.

Sehingga kini, kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam konflik yang berlaku empat wilayah di selatan Thailand itu.

Malaysia bertindak sebagai fasilitator terhadap proses rundingan damai itu.

Menurut Awang, walau apapun rintangan di medan dan di meja rundingan gerak kerja Mara Patani akan diteruskan.

"Majlis Syura Patani tetap bersiap siaga untuk kembali ke meja dialog apabila pembentukan kerajaan baharu Thailand selesai," katanya tentang proses damai antara kumpulan itu dengan kerajaan Thai yang digantung sejak Februari lalu.

Mara Patani bertindak menggantung proses damai itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ketua panel perunding kerajaan Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat yang enggan bertemu dengan panel perunding kumpulan itu dalam pertemuan di Kuala Lumpur, Februari lalu.

Sementara itu Awang juga berkata, pihaknya akan menangani dengan baik isu pengunduran ketua panel dialognya Shukree Hari baru-baru ini menerusi proses Syura dan mengumumkan sebarang keputusan mengenainya secara rasmi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS