ULASAN | Isu umat Islam Malaysia berbuka puasa bersama non muslim di rumah ibadah mereka telah menjadi riuh-rendah pada minggu terakhir Ramadan 1440H.
Serentak dengan itu, banyak pihak yang berkenaan telah keluar ke hadapan khalayak untuk menyatakan sikap dan pendirian masing-masing dalam hal ini dengan tegas dan tanpa teragak-agak lagi.
Mereka terdiri daripada segmen bangsawan, politikus, ulamak, ilmuan dan juga rakyat kebanyakan.
Prinsip dan nilai permasalahan
Bagi penulis, untuk menangani isu seperti ini terdapat beberapa persimpangan besar tentang pendekatan hala tuju yang perlu ditekuni terlebih dahulu sebelum mereka membuat sesuatu keputusan untuk ummah dewasa ini.
Sudah tentu persimpangan-persimpangan ini wajar dikenal pasti terlebih dahulu, kerana ia amat mencabar, memerlukan kematangan dan persepakatan majoriti kumpulan islahiyyun, pendakwah, reformis dan ilmuwan semasa.
Di antara beberapa persimpangan besar ini terdapat satu persimpangan yang relevan secara langsung dengan kes ini; iaitu adakah para ilmuwan perlu:
- Menyatakan kebenaran ddalam sesuatu isu berdasarkan syariat dan maqasidnya atau
- Memilih pendekatan lunak tanpa menyatakan kebenaran di dalam sesuatu isu bahkan menjustifikasi apa sahaja pegangan status quo masyarakat Islam di beberapa negeri di Malaysia yang diwarisi, bertujuan untuk mengelak kontroversi, sensitiviti, mengelak fitnah dan tuduhan.
Persimpangan yang ini seharusnya ditekuni terlebih dahulu oleh para aktivis dan ilmuwan kerja islah di negara ini dengan penuh teliti, bertanggung jawab, matang dan gigih. Mereka hanya perlu menentukan sikap, samada mahu memilih:
Simpang kiri tadi, iaitu mengikut jalur biasa yang telah diwarisi, lalu mereka menjustifikasikan apa sahaja pegangan status quo masyarakat Islam di beberapa negeri malaysia yang diwarisi, walaupun ia tidak selaras dengan nilai ajaran Islam yang suci, semata-semata kerana takut kepada timbulnya “fitnah” dan kekeliruan kesan daripada pendekatan baru.
Secara langsung atau tidak langsung, aktivis dan ilmuwan kerja islah aliran ini turut terperangkap dalam jerat pendekatan lama. Lantas turut sama secara tidak langsung menyokong pendekatan warisan yang tidak mesra syariat, bahkan ia sesekali tidak lunak dengan pendekatan yang bernuansa tajdid, kreatif dan memperluaskan kerangka berfikir dan bertindak, atau
Memilih persimpangan ke kanan iaitu memilih jalur asal yang sepatutnya dipilih. Pemilihan ini berdasarkan kepada kerangka beragama yang dibenarkan oleh syariat Islam dan maqasidnya tanpa begitu terikat dengan amalan beragama secara warisan yang berlaku di sesuatu tempat sehingga menukarkan amalan yang benar seolah-olah menjadi sesuatu praktis yang terlarang.
Pendekatan ini bermaksud satu pendekatan yang menyantuni kepelbagaian yang selari dengan ajaran agama Islam yang rahmat itu. Di dalam kes menikmati hidangan di rumah ibadat non muslim contohnya, peristiwa yang berlaku di zaman generasi unggul umat Islam menunjukkan bahawa perkara ini sememangnya dilakukan oleh generasi terawal Islam.
Maka cukuplah peristiwa ini menjadi penyuluh kehidupan ummah ketika mereka sedang dikelirukan daripada perkara yang hak. Kitab al-Mughni yang dikira sebagai satu kitab sumber yang berwibawa di kalangan ilmuwan Islam ada menukilkan dengan jelas bahawa Umar al-Khattab RA selaku khalifah kedua selepas rasulullah SAW bersama Imam Ali RA telah mengunjungi bumi Sham, di mana pihak Nasrani Sham telah menjemput mereka untuk menikmati hidangan di dalam gereja mereka.
Imam Ali memasuki gereja tersebut lalu menikmati hidangan tersebut bersama para muslimin yang lain. Semuanya itu berlaku bukan sahaja dengan kebenaran Umar al-Khattab bahkan dengan arahannya jua. (Sila rujuk; Ibnu Qudamah, al-Mughni, juz 8/113,;Ibnu Hazm, al-Muhalla, 1/400; al-Mardawi, al-Insaf, 1/496;Lajnah Fatawa Daimah, 2/115, soalan no: 11232).
Justeru itu kes menikmati hidangan di rumah ibadat non muslim bukanlah amalan baru dan pelik. Ia dilihat selari dengan ajaran asal syariat Islam walaupun ia mungkin berbeza dengan amalan beragama yang diwarisi daripada kurun ke enam yang berbeza latar masyarakatnya ataupun amalan beragama kurun ke empat belas hijrah yang bukan sahaja gagal meraikan dakwah silang budaya bahkan masih terperangkap di dalam mitos fahaman dan kerangka beragama cara lama.
Tegasnya, jalur pendekatan yang meraikan dakwah silang budaya adalah suatu pilihan asal. Inilah jalur yang sepatutnya dipilih oleh reformis dan ilmuwan muslim kontemporari dan mereka yang berjiwa mujaddid yang mencintai perdamaian dan mahukan Islam berada di persada negara. Apalagi di saat mereka memikul tanggung jawab mengimarahi bumi Malaysia di abad yang mencabar dengan kepelbagaian budaya yang unik ini.
Isu berbuka puasa bersama
Untuk memudahkan bicara saya memilih isu berbuka puasa bersama- sama bersama non muslim atau di tempat-tempat ibadah non muslim yang dikatakan sensitif tersebut.
Menteri Ehwal Agama kerajaan Malaysia Dr Mujahid Yusof contohnya, telah memberi lampu hijau kepada ijtihad dan usaha berbuka puasa di tempat-tempat tersebut. Ini adalah antara pendekatan-pendekatan baru dan kreatif yang diperkenalkan kerana ia berpotensi mengangkat nilai ukhuwah sesama manusia seterusnya mendokong nilai Malaysia baru yang inklusif dan berprinsip.
Pendekatan begini menghayati semangat syariat Islam dan Maqasidnya. Amalan berbuka puasa begini sudah berlaku secara meluas dan berbentuk dakwah santai di mana sahaja khususnya di benua Eropah, Amerika, negara-negara Arab yang bersifat majmuk seperti Mesir, Lebanon dan Palestin. Ia suatu realiti yang dipaparkan media massa dalam pelbagai bentuk.
Ulama dan ilmuwan seperti Abd Ghani Shamsuddin sebagai penasihat Nadwah Ulama dan Ilmuwan Malaysia (NUIM-Yadim), Abd Halim Yusof sebagai pengerusinya, bersama-sama ahli jawatan kuasa dan ahli- ahli panel pakar pemikir NUIM seperti Dr Roszaimi Ramli, Afifi Mufti Hasbullah, Xifu Nasir penggiat dakwah silang budaya, Azhar Abd Shukur, Hajar Opir, Dr Nik Rahim Wajis dan mufti Pulau Pinang telah menyokong pendekatan ini secara tuntas dan terus terang. Pilihan pendekatan ini sudah tentu mendokong gagasan Al Islam Rahmatan Lil A’lamin dan acuan “fiqh Malizi” secara nyata.
Analisis
Melalui penyelidikan berprinsip dan berfokus, penulis menyokong penuh pendekatan berbuka puasa dalam bentuk kreatif ini. Pada asalnya para ilmuwan sepatutnya memilih atau menolak sesuatu pendekatan hanya berasaskan kesahihan syarak dan maqasidnya.
Maka sesungguhya di dalam hal ini kita harus memilih sesuatu pendekatan yang selaras dengan Islam, nilai ibadah dan nilai sosial Islam yang asal. Justeru itu ummah perlu berani memilih jalan perubahan damai berbentuk thaurah besar besaran. Tidaklah molek untuk ummah memilih jalur ke kiri dan menyokong pendekatan mempertahankan pandangan warisan keagamaan yang tidak patuh syariat itu.
Pendapat yang mahu memilih persimpangan kiri dan membela praktis tradisi sedia ada yang beku itu, berkemungkinan hanyalah berpaksi kepada beberapa premis idea yang lemah iaitu demi:
- Menjaga kesatuan umat dan keutuhan warisan beragama yang telah berlalu, lalu mereka meminggirkan pendekatan yang paling praktikal dan sahih mengikut ajaran Islam.
- Mahu mengelak fitnah dan menjauhi sesuatu bentuk sensitiviti, lalu mengenepikan tajdid dan kreativiti yang menyegarkan kebangkitan ummah di zaman ini. Akhirnya praktis yang lebih selaras dengan Islam dan realiti umatnya dikebumikan kerana mahu memberi laluan kepada pendekatan warisan dan tradisi.
Kesimpulan
Ramai ummah sedia maklum, bahawa pendekatan memilih jalur kiri dalam menyatakan sikap lalu memilih jalan selamat/playsafe (iaitu untuk mengelak fitnah) hanyalah pendekatan untuk keadaan terhad secara pilihan rukhsah dan pengecualian. Ia tidak harus bertukar menjadi pendekatan asal. Bahkan pendekatan menjuarai prinsip asal (azimah) yang sepatutnya menjadi elemen yang mendominasi setiap keputusan.
Lebih buruk lagi pendekatan yang menjuarai premis playsafe untuk mengelak kebarangkalian fitnah dan perpecahan ini bukan sahaja tidak mampu mendiamkan fitnah dan perpecahan yang kita saksikan berlaku saban masa di hadapan mata kita, bahkan ia telah mematikan asas ajaran Islam yang terpenting yang memungkinkan kebangkitan semula ummah melalui kepatuhan kepada syariat dan nilai-nilainya dalam semangat tajdid sebenar yang segar.
DR ABI ABDULLAH HANAFI DOLLAH ialah penyelidik isu-isu beragama dalam masyarakat kontemporari. Profesor Madya di Kulliyyah Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu bertugas sebagai timbalan Pengerusi Nadwah Ulamak Dan Ilmuwan Malaysia (NUIM- Yadim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.