Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee menafikan wujudnya tangan tersembunyi di sebalik saman pemulanya yang mencabar kesahihan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung salah laku badan kehakiman.
"Seperti yang dinyatakan dalam afidavit saya, saya menjadi mangsa campur tangan dalam bidang kehakiman berhubung petisyen pilihan raya pada tahun 2000.
"Tetapi saya percaya sebagai warganegara bahawa salah laku kehakiman mesti ditangani mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya dengan RCI.
“Ini akan menjadi ikutan (precedent) jika tiada siapa yang bercsuara untuk membantah apabila perlembagaan kita dipijak," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa terdapat pihak-pihak dalam Pakatan Harapan dan beberapa bekas hakim kanan menentang pembentukan sebuah RCI untuk mengkaji salah laku dalam bidang kehakiman.
Seorang pegawai kanan kerajaan berkata demikian selepas menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawap terhadap portfolio undang-undang, Liew Vui Keong berkata tindakan undang-undang oleh Yong adalah antara alasan penangguhan penubuhan RCI.
Ahli Parlimen Batu Sapi dari Sabah itu berkata susulan saman pemula itu, kerajaan akan menunggu sehingga 2 Julai untuk memutuskan tindakan selanjutnya.
Walau bagaimanapun, Yong, dalam kenyataannya kepada Malaysiakini petang ini, berkata beliau mempunyai alasan kukuh dan mencukupi untuk memfailkan saman pemula itu pada 29 April.
Menurut Presiden SAPP itu, beliau telah dinasihatkan oleh peguam kanan yang amat dihormati di kalangan pengamal undang-undang mengenai perkara berkenaan tetapi tidak mendedahkan nama mereka.
"Saya percaya kabinet persekutuan diberi nasihat salah apabila memutuskan untuk membentuk RCI. Siapa yang memberi nasihat salah itu, terpulang kepada menteri undang-undang untuk menerangkannya.
"Saya juga menyenaraikan kes-kes konflik kepentingan di kalangan menteri berkenaan.
"Siapa pegawai yang membuat kesilapan memberi nasihat undang-undang yang salah kepada kabinet tidak boleh mempersalahkan orang lain atau apa yang dipanggil sebagai tangan tersembunyi," katanya.
Pada bulan Februari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI berikutan pendedahan menggemparkan daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam sebuah afidavit.
Dalam afidavit itu, Hamid, yang mendakwa salah laku dalam bidang kehakiman, melahirkan rasa kesal bahawa ketua hakim ketika itu Richard Malanjum tidak menubuhkan RCI.
Susulan peersetujuan Mahathir, terdapat perdebatan mengenai skop bidang kuasa RCI.