Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keperluan Mandarin: Para pemimpin perniagaan mahukan lebih kajian

Pertubuhan perniagaan Melayu dan Cina mungkin mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu keperluan bahasa Mandarin untuk memohon kerja tertentu tetapi kedua-dua pihak bersetuju bahawa lebih banyak kajian harus dijalankan untuk memahami keperluan berkenaan daripada melabelnya sebagai diskriminasi kaum.

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), yang terdiri daripada hampir 2,000 perusahaan kecil dan sederhana, menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk berbincang dengan majikan Cina.

Ini berhubung kenyataan Maszlee yang mendakwa pemohon bumiputera didiskriminasi kerana tidak boleh berbahasa Mandarin yang dijadikan sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat milik Cina.

"Dia membuat kenyataan tanpa usul periksa... sebagai seorang menteri, kata-katanya mempunyai pengaruh.

“Apabila dia bercakap mengenai isu berkaitan etnik, dia harus membuktikannya dengan statistik dan bukan bercakap apa yang dia suka atau bergantung pada maklumat dari satu pihak sahaja, kata bendahari MCCC Thay Peng Hong kepada Malaysiakini.

Thay, yang mengendalikan sebuah firma pembinaan, berkata syarikatnya menggajikan 60 peratus orang Melayu walaupun berurusan dengan syarikat-syarikat yang berpangkalan di China dan keperluan berbahasa Mandarin bukan syarat wajib kecuali bagi mereka yang perlu berkomunikasi dengan rakan sejawat mereka dari China

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata hakikatnya diskriminasi berkenaan semenangnya wujud dan banyak kajian mengenainya sudah dijalankan.

 

Walau bagaimanapun, beliau mengakui ada keperluan untuk kedua-dua pihak mengadakan persepakatan bagi mencari penyelesaian tersebut.

“Kena buat satu kajian dan kongsikan laporan tentang komposisi perkerja berdasarkan kaum dan gaji dan jawatan di semua syarkat swasta.

“Sudah pasti kita boleh lihat jika ada trend racial preference (pemilihan kaum) yang berlaku dan kenalpasti. Kenapa? Adakah ni secara merit atau sebaliknya?,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Yazid, antara langkah lain adalah mengkaji mengenai stereotaip terhadap golongan-golongan tertentu seperti wanita berhijab dalam sektor pekerjaan.

“Kajian-kajian telah membuktikan ada diskriminasi terhadap graduan Melayu. Kita juga pernah menerima aduan tentang diskriminasi terhadap mereka yang berhijab.

“Kita kena akui ada berlaku stereotaip terhadap golongan tertentu secara sengaja atau tidak. Ini langkah pertama.

“Selepas itu wajarlah semua berwajib termasuk NGO berbincang dan bermuhasabah demi keharmonian hubungan sesama kaum,” katanya yang mencadangkan supaya kajian itu dikendalikan sama ada pihak NGO, badan pemikir atau lebih baik oleh kerajaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata perbincangan (engagement) tersebut tidak perlu dilakukan kerana akan membuatkan keadaan bertambah buruk.

Sebaliknya, beliau menasihatkan supaya pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan memantau jika berlakunya diskriminasi di sektor pekerjaan, sambil mencadangkan Kementerian Pendidikan menyediakan kursus bahasa-bahasa tertentu, seperti Mandarin di sekolah dan pengajian tinggi sekiranya mendapati pasaran dari China dalam sektor pekerjaan semakin berkembang.

“Saya merasa menjadi tugas pihak berwajib untuk memantau perkara ini. Sebagai contoh, pihak jabatan tenaga kerja boleh melihat iklan-iklan yang dibuat oleh para majikan dan membuat satu pemeriksaan sama ada benar atau tidak bahawa mereka itu memerlukan seseorang yang mahir berbahasa Mandarin untuk diambil pekerja, kerana syarikat itu berhubung dengan pelanggan-pelanggan di China, sebagai contoh.

“Kalau didapati bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai pelanggan2-pelanggan berbahasa Mandarin, itu merupakan satu diskriminasi dan itu boleh diambil tindakan untuk pihak berwajib,” katanya.

Percaya bahawa permintaan sesetengah syarikat dalam kemahiran bahasa tertentu sebagai prasyarat sesuatu pekerjaan tanpa mengira bangsa, Shamsuddin berkata ini turut digunapakai sekiranya syarikat itu banyak berurusan dengan negara Timur Tengah, yang memerlukan kemahiran bahasa Arab.

“Jadi saya merasakan keperluan pekerjaan itu adalah berdasarkan kepada keperluan syarikat. Bukan berkata syarikat itu memilih bangsa ataupun sebagainya sebagai dasar untuk mengambil pekerja.

“Sebagai contoh, seorang Melayu itu boleh berbahasa Mandarin, kenapa tidak? Ataupun seorang Cina itu berbahasa Arab dan boleh untuk diambil untuk bekerja untuk berkomunikasi dengan pelanggan di Timur Tengah, kenapa tidak?

“Itu adalah sesuatu saya rasa yang harus dilihat oleh pihak pencari kerja itu dengan lebih positif,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS