Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perang dagangan China-AS: 'Crowbar Diplomacy' di tempat kerja

ULASAN l Perang dagangan secara asasnya adalah perang tarif, dengan hasrat memaksa pihak yang lain untuk mengalah. Tetapi, perang dagangan boleh difahami tanpa merujuk kepada butiran yang mendalam dan tarif yang menguasai terhadap perbuatan saling tuduh-menuduh. Sebenarnya, perang dagangan adalah satu bentuk paksaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak mengguna istilah “crowbar diplomacy”, tetapi inilah yang beliau maksudkan apabila mengisytiharkan sokongannya terhadap Huawei di Jepun.

Di Persidangan Nikkei Asia, beliau menegaskan lagi bahawa ‘Asia bukan lagi peniru. Dan jika pihak lain melarang (Huawei) dan menghantar kapal perang ke (Laut China Selatan), itu adalah sesuatu ugutan.” Dr Mahathir bukan sahaja merujuk kepada Amerika Syarikat, tetapi negara-negara barat yang telah meningkatkan bilangan kapal perang di perairan antarabangsa atas alasan kebebasan pelayaran.

Sudah pasti, bukan setiap hadirin senang dengan kenyataan Dr Mahathir di Jepun.

Beliau turut mengatakan perang itu adalah satu idea yang primitif dan tidak bertamadun, yang merujuk kepada rasa kurang selamat daripada Jepun hingga ke Korea Selatan, dan China.

Walau bagaimanapun, ada tiga sebab mengapa Malaysia tidak harus takut dengan perang dagangan. Sebaliknya, Malaysia harus menggunakannya sebagai kayu ukur untuk pelaksanaan dasar-dasar nasionalnya, kerana perang dagangan ini mendedahkan sebuah corak global mengenai evolusi ekonomi dunia.

Pertama, tidak seperti perang dagangan antara Amerika Syarikat dan Jepun pada tahun 1980an dan 1990an, yang menyaksikan persaingan nilai yen berbanding dolar Amerika serta pengimportan kereta Amerika, perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat pada hari ini berkisar mengenai hasrat China untuk menjadi kuasa besar dalam bidang IT menjelang 2045.

Menjelang 2045, China berhasrat untuk menjadi pembekal dan mengetuai kesemua sepuluh sektor strategik dalam IT, termasuklah dalam sektor kepintaran buatan (AI), robotik dan sebagainya.

Bahkan sehingga tahun 2025 sahaja, antara Impian China yang diketengahkan oleh Presiden Xi Jin Ping adalah untuk menjadi kuasa dominan dalam sebahagian sektor di atas, menurut sumber didedahkan oleh South China Morning Post yang berpangkal di Hong Kong, dimiliki oleh Jack Ma dan perniagaannya Ali Baba. Dalam konteks ini, sebab perang dagangan ini tercetus, mudah sahaja: kerana dominasi secara sistematik ke atas ekonomi global menjelang tahun 2025, jika tidak 2045.

Suka atau tidak, masa depan dunia terletak pada kemajuan aplikasi, algoritma, kepintaran buatan dan automasi. Kekuatan Malaysia bergantung kepada sepantas mana ia menyedari kepentingan revolusi ini dan mendakapinya. Kemajuan sains dan teknologi, meskipun di tahap digital, adalah fenomena yang digelar oleh ahli ekonomi sebagai Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR). Perang China-AS ini adalah akibat daripada persaingan dua kuasa besar untuk menguasai Revolusi Perindustrian ke-4.

Kedua, Amerika Syarikat belum lagi mengisytiharkan China sebagai pemanipulasi mata wang Renminbi. Dengan tidak mensasarkan Remnimbi, Amerika Syarikat secara asasnya mengakui bahawa ekonomi China telah menjadi begitu canggih, sesuai dengan keperluan ekonomi masa depan yang bertunjangkan aplikasi. Jika seluruh dunia menggunakan Huawei, ZTE, Tencent atau Ali Baba, maka dunia akan berpaksikan China. Amerika Syarikat dan negara-negara barat tidak akan membiarkan hal ini berlaku - walaupun buat pertama kali dalam 400 tahun, GDP Asia telah pun melebihi Amerika Syarikat dan negara-negara Barat, terutamanya Kesatuan Eropah.

Oleh itu, AS tidak boleh menuduh China menipu memanipulasi mata wangnya atau kebolehtukarannya, memandangkan bagaimana China telah mencapai lebihan dagangan sekitar USD 333 billion.

Jika ingin dibandingkan, pada kemuncak perang dagangan antara AS - Jepun, lebihan dagangan Jepun hanyalah sekadar USD50 billion. Kini, lebihan dagangan China berbanding AS adalah sebanyak 60 kali ganda lebihan dagangan Jepun. AS sedar China kini merupakan gergasi dalam dunia pengeksportan; ia bahkan telah menggantikan eksport negara-negara Asia lain ke AS.

Perang dagangan ini turut memperlihatkan bahawa AS tidak lagi akan menyerap eksport asing, melainkan produk yang diperbuat di AS dibenarkan ke pasaran global juga; sebagaimana yang berlaku ketika AS beralih kepada Amazon.com, Netflix, Facebook, Google Plus, Iphone dan seumpamanya, di mana semuanya diguna pakai di serata dunia.

Ketiga, perang dagangan ini bukan sahaja menunjukkan ego antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jin Ping, malah ia turut mempamerkan ego antara kedua-dua negara.

Selepas lebih 40 tahun pengalaman dalam ekonomi sejak 1976, China sudah mengenali dirinya sendiri, serta pasaran dunia.

Tidak kiralah sama ada di Afrika atau Amerika Selatan, ahli perniagaan China telah berada di situ. Tentera Amerika Syarikat barangkali mempunyai kehadiran mereka di merata dunia, tetapi tidak pernah mempunyai pelan induk seperti Belt and Road Initiative (BRI), yang melangkaui 64 negara.

Sektor awam dan swasta China telah membelanjakan hampir USD1 trillion antara 2013-2019, kenapa China harus mengundur diri? AS telah membentuk sistem perdagangan Multi-Lateral sejak 1945, yang menyokong China menjadi ahli World Trade Organization pada tahun 2002. Kalau Amerika Syarikat merasakan dirinya dihampakan akibat sistem yang mereka sendiri tubuhkan, kenapa pula mereka harus mengundur?

Ini adalah antara tiga sebab di atas mengapa ‘Winter is coming’ apabila dua kuasa perdagangan besar menggunakan ‘crowbar diplomacy’. Negara-negara lain tidak boleh terlepas dari implikasi negatif perang dagangan ini. Dua gergasi tersebut berada di puncak rantaian makanan.

Sekiranya mereka ingin terus mencukai antara satu sama lain, membiarkan ekonomi mereka merana sehingga lingkup, negara-negara lain hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak setuju.

Selain daripada mengakui betapa sia-sianya perang dagangan ini, adalah lebih penting mengubah landskap ekonomi negara kepada digital global agar lebih ramai orang beroleh manfaat daripada transformasi itu.


DR RAIS HUSSIN merupakan presiden dan CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS