Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta agar tugas penyerahan zakat tidak diberi kepada orang politik bagi mengelakkan dijadikan kempen politik kepartian.
"Isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak.
"Isunya, jika ruang itu dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihan raya, ia akan dijadikan ruang untuk berkempen politik kepartian menggunakan agama, atau lebih khususnya zakat," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.
Menurut Dr Asri, beliau menghargai titah Raja Perlis sebelum ini yang mengarahkan orang politik tidak diizinkan menyerahkan zakat daripada Majlis Agama Islam Perlis (Maips) kepada golongan asnaf.
"Ini bagi mengelakkan salah tujuan atau dijadikan kempen politik kepartian.
"Maka, sepanjang saya bertugas, hanya DYMM Raja Perlis ataupun DYTM Raja Muda Perlis sahaja yang menyerahkan zakat.
"Jika tiada, maka orang yang diperkenankan oleh DYMM Raja atau DYTM Yang Dipertua Maips. Pastinya mereka bukan dari kalangan orang politik," katanya.
Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan kit kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada penduduk Islam.
Bagaimanapun, tindakannya itu dipertahankan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang menjelaskan adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada bagi menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.
Menurut Wan Salim berdasarkan sudut hukum fikah, perkara itu hanya yang berkaitan dengan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kafarah.
Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pula berpendapat meskipun ia tidak menjadi satu kesalahan, namun adalah tidak manis bagi golongan bukan Islam menyampaikan zakat.
Mengulas lanjut, Asri berkata umat Islam perlu meminimakan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda yang bersifat kelompok dan peribadi.
"Ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian merupakan musibah besar kepada Umat ini.
"Seseorang ilmuan agama hendaklah mengambil kira realiti ini dalam mengeluarkan fatwa atau pandangan hukum apabila membincangkan isu siapakah yang boleh menyerahkan zakat kepada asnaf," katanya.