Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keterangan tak jelas cetus persoalan pertemuan KWAP-Najib

KES NAJIB | Bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Azian Mohd Nor sekali lagi memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah Najib Razak hari ini, tetapi ada kelompongan dalam keterangannya berkenaan apa yang berlaku selepas pertemuannya dengan bekas perdana menteri pada 2011.

Azian yang merupakan saksi ke-38 hari ini ditanya secara terperinci berkenaan kelulusan KWAP terhadap pinjaman RM2 bilion pertama yang dimohon SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB.

Terdahulu, dia memberita Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia bersama-sama pengerusi KWAP ketika itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bertemu Najib di Pejabat Perdana Menteri pada Jun 2011.

Tujuan pertemuan itu ialah untuk memaklumkan kepada Najib bahawa panel pelaburan KWAP hanya meluluskan pinjaman RM1 bilion, bukan RM3.95 bilion seperti yang dimohon SRC International.

Panel itu akhirnya meluluskan RM2 bilion setelah mendapat jaminan kerajaan.

Ia menyebabkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertanya Azian berkenaan rentetan peristiwa yang menyebabkan kelulusan tambahan RM1 bilion, seperti yang dinyatakan dalam perenggan 23 dan 24 kenyataan saksinya.

Nazlan: Perenggan 23 menyatakan saksi, sebagai CEO KWAP, bersama-sama pengerusi KWAP, bertemu perdana menteri untuk menerangkan keputusan panel pelaburan, yang hanya meluluskan RM1 bilion. Betul?

...Pada perenggan seterusnya, ia mengatakan (bekas pegawai KWAP) Amirul Imran Ahmat menyediakan kertas (untuk panel pelaburan menimbang kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International atas tujuan pelaburan am dan modal).

Keseluruhan kenyataan saksi anda mengikut kronologi, tetapi tiba-tiba ada jurang (daripada) RM1 bilion ke RM2 bilion.

Azian kemudian berkata dia tidak ingat rentetan peristiwa tetapi ingat mesyuarat panel pelaburan KWAP selepas itu, di mana pengerusi memintanya agar memberitahu anggota panel bahawa perdana menteri meminta KWAP mempercepatkan kelulusan dan RM2 bilion sudah memadai.

'Ketika itu hanya timbang RM1 bilion'

Dalam kenyataan saksinya, Azian lupa bila dia dan Wan Abdul Aziz bertemu Najib.

Kemudian, dia turut memberitahu peguam Harvinderjit Singh yang KWAP pada mulanya tidak meluluskan pinjaman RM1 bilion, tetapi hanya "menimbangnya" pada masa itu.

Harvinderjit Singh

Dia juga berkata permohonan pinjaman RM2 bilion oleh SRC International "bebas" daripada permohonan pertama iaitu RM3.95 bilion.

Harvinderjit: Jadi pada mulanya SRC International buat permohonan RM3.95 bilion, dan kemudian kurangkan ke RM2 bilion, betul?

Azian: Seperti dinyatakan di kertas (pelaburan).

Harvinderjit: Anda tak ingat sama ada permintaan ini sebelum atau selepas komunikasi antara Wan Abdul Aziz dan Najib?

Azian: Saya tak ingat.

Harvinderjit: Sebab anda tiada di sana?

Azian: Ya

Isnin lalu, Azian memberitahu mahkamah bahawa dia berjumpa pegawai khas Najib, Azlin Alias (meninggal dunia pada 2015) pada Jun 2011 di sebuah hotel di KL Sentral.

Menurutnya, Azlin ketika itu memberikan surat permohonan pinjaman RM3.95 bilion SRC International.

Azian berkata surat itu, yang bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil. Ia juga mengandungi nota tulisan tangan Najib yang menyatakan "Bersetuju dengan cadangan ini".

Katanya, dia kemudian menyerahkan surat itu kepada Wan Abdul Aziz walaupun ia tidak mematuhi syarat KWAP - antaranya surat itu ditujukan kepada Najib, bukannya badan itu.

'Tak ingat'

Ketika peguam Mohd Yusof Zainal Abiden bertanya tentang surat itu, Azian berkata dia tidak boleh mengingat sama ada wujud surat lain berkenaan permohonan pinjaman RM3.95 bilion.

Dia hanya ingat tentang dokumen sokongan untuknya, kata Azian.

Azian bagaimanapun bersetuju ketika ditanya sama ada dua kertas pelaburan disediakan selepas mesyuarat panel pelaburan KWAP pada Julai 2011 - dengan kertas kedua berkenaan kelulusan pinjaman RM2 bilion.

Ketika itu, katanya lagi, surat permohonan untuk pinjaman RM2 bilion ditujukan kepada KWAP, tetapi tidak ingat sama ada ia disertakan dengan dokumen sokongan.

Azian juga enggan menjawab beberapa soalan Yusof berkenaan prosedur KWAP dalam meluluskan permohonan pinjaman SRC International pada 2011 dan 2012, yang berjumlah RM4 bilion.

Ia termasuk soalan berkenaan kelulusan KWAP berdasarkan jaminan kerajaan, tetapi sebelum menerima surat berkenaan jaminan tersebut.

Yusof: Kerajaan beri jaminan. Jadi, jika ada masalah dengan kriteria sebelum ini, dan tidak dapat beri surat jaminan awal, adakah akan timbul masalah besar? Ini kerana syarikat ini (SRC International) ada kepentingan kerajaan.

Azian: Saya tak boleh komen tentang perkara itu. Ia hanya pandangan saya...

Yusof: Jadi anda setuju dengan saya, bagi KWAP, tiada apa yang salah dengan permohonan itu?

Azian: ...Jika kami dapat surat (jaminan) sebelum menyalurkan pinjaman... Tidak, saya tak akan jawab soalan andaian (hypothetical question).

Yusof: Ia sesuatu yang teruk, bukan? Perkara seumpama itu tidak berlaku (menyalurkan pinjaman sebelum menerima surat jaminan)?

Azian: Tidak, saya tak boleh komen. Saya tak boleh komen sebab saya tidak berdepan dengannya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS