Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram minta IGP campur tangan di Kelang Selatan
Diterbitkan:  May 29, 2019 10:37 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Kumpulan hak asasi manusia, Suaram, hari ini menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk campur tangan dalam isu siasatan mengenai dua lelaki didakwa didera dalam tahanan polis.

Dalam kenyataan hari ini Pengarah Eksekutif Suaram D Sevan berkata badan itu kecewa apabila Ketua Polis Daerah Kelang Selatan membuat laporan polis selepas isu berkenaan didedahkan dalam sidang media pada 24 Mei lalu.

Kata Sevan ekoran laporan polis berkenaan, keluarga lelaki terbabit serta penyelaras Suaram dipanggil untuk disoal siasat pada semalam dan esok.

"Ketua polis daerah itu sepatutnya mengarahkan siasatan dibuat berhubung dakwaan penderaan oleh pihak keluarga terbabit, tetapi sebaliknya keluarga tahanan itu dan Suaram yang dipanggil memberi keterangan.

"Ini bercanggah dengan kenyataan yang diberikan kepada media bahawa beliau akan menjalan siasatan dan mengenakan tindakan disiplin ke atas anggota yang terlibat sekiranya didapati bersalah," katanya.

Menurut Sevan pada pandangan Suaram apa yang berlaku itu adalah satu gertakan dan penafian kepada pendedahan yang dibuat pihak terbabit.

"Ia juga tidak selari dengan perubahan yang cuba dibawa Abdul Hamid dalam usahanya memperbaiki perkhidmatan polis.

"Justeru Suaram ingin beliau campur tangan dalam siasatan ke atas salah apa yang berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah Kelang Selatan," katanya.

Terdahulu semasa mengadakan sidang medianya Suaram mendakwa dua tahanan polis - Ahmad Haikal Anur dan Muhammad Pardi diseksa semada dalam tahanan polis.

Kata Sevan, Muhammad - kini ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam - tidak diberikan rawatan perubatan atau ubat sepatutnya.

"Suaram menggesa polis mengutamakan kepentingan tahanan dan memastikan kesihatan dan keselamatan mereka di dalam tahanan, bukannya menyiasat keluarga tahanan terbabit," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS