Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dihidang 'makan malam dan seks' - Jho Low dikait skandal di Korea Selatan
Diterbitkan:  May 28, 2019 8:08 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Ahli perniagaan Jho Low - yang terkenal dengan peranannya dalam skandal 1MDB - kini terpalit dengan satu lagi skandal.

Menurut satu laporan, lelaki berusia 37 tahun itu didakwa menerima perkhidmatan seks yang diaturkan seorang eksekutif dalam industri hiburan Korea Selatan.

Menurut The Korean Herald, perincian berkenaan perkara itu disiarkan dalam rancagan "Straight" di saluran Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) semalam.

Menurut dakwaan, Ketua Pegawai Eksekutif YG Entertainment Yang Hyun-suk menganjurkan makan malam untuk pelabur, termasuk Jho Low, yang turut disertai pekerja seks.

Laporan itu mendakwa acara itu berlaku pada Julai 2014, melibatkan Jho Low dan seorang ahli perniagaan Thailand.

Terdapat 25 perempuan yang hadir, termasuk 10 pekerja seks, serta lapan lelaki pada malam itu.

YG Entertainment menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Yang Hyung-suk

Program MBC itu merupakan kesinambungan berkenaan laporan skandal "Burning Sun" yang menggegarkan industri hiburan Korea Selatan.

Pada Januari, MBC menyiasat bagaimana seorang lelaki berusia 29 tahun diserang ketika cuba membantu seorang perempuan yang diganggu secara seksual di kelab malam Burning Sun di Gangnam, Seoul.

Selain diserang pekerja kelab, dia juga ditahan dan didakwa oleh polis.

Siasatan itu pantas membawa kepada pendedahan bagaimana perempuan diberi dadah dan dirogol di kelab tersebut, dan polis tempatan dibayar.

Anggota band terkenal Big Bang Lee Seungri, yang mempunyai kaitan dengan kelab itu, kemudian mengumumkan bersara daripada industri hiburan.

Ia selepas perbualan tentang bagaimana dia mengaturkan pekerja seks dengan pelabur, terdedah kepada umum.

Sejak itu, siasatan yang melibatkan pelacuran, penyeludupan dadah dan korupsi dalam pasukan polis turut melibatkan kelab-kelab malam lain.

Sebelum ini Seungri bernaung di bawah YG Entertainment. Antara artis terkenal lain di bawah syarikat itu ialah PSY.

PSY pernah membuat persembahan di sebuah konsert percuma di Pulau Pinang menjelang PRU ke-13 pada 2013.

Konsert itu dipercayai menerima dana daripada Jho Low.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS