Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tak benar Yapeim rugi RM12 juta menerusi skim ar-rahnu’

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) tampil menafikan beberapa dakwaan salah laku dalam yayasan kerajaan persekutuan itu.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim yang baru Mohd Daud Bakar, ini susulan dari dapatan laporan audit PriceWaterhouse Coopers (PwC).

"Berhubung dengan dakwaan yang menyatakan Yapeim mengalami kerugian sebanyak RM12 juta menerusi Skim Ar-Rahnu Yapeim dan melibatkan 1,000 pelanggan adalah tidak benar," katanya dalam sidang media di bangunan Yapeim di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, 17,053 pelanggan yang terlibat dalam skim itu telah dibayar lebihan jualan RM5.4 juta.

"Tidak berlaku kerugian operasi berjumlah RM12 juta, malah pendapatan daripada upah simpan adalah berjumlah RM9.4 juta," katanya.

Pada 13 Mei, sebuah laporan berita memetik dokumen sulit kerajaan yang menunjukkan kerugian berlaku apabila Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Sebaliknya, keseluruhan nilai tidak ditebus itu merupakan RM62.18 juta sebanyak 388kg, dan bukanlah 300kg dengan nilai RM80 juta seperti didakwa.

Mohd Daud turut menafikan dakwaan berhubung isu dana RM1 juta dari Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin) yang disalahgunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

"Peguam cara telah menguruskan kes ini sejak tahun 2016 dan jumlah keseluruhan pembayaran yuran guaman sehingga kini adalah RM521,619.80.

"Bayaran guaman ini tidak menggunakan dana dari tabung amanah tetapi peruntukan bagi membiayai kos ini adalah daripada akaun Yapeim yang dijana daripada sumber perniagaan," katanya.

Katanya, ia juga telah diselsaikan secara baik oleh kedua-dua pihak dan penghakiman persetujuan telah direkodkan di mahkamah pada 16 April 2019 lalu.

Beri tempoh mohon maaf

Sementara itu, Mohd Daud berkata Yapeim memberikan tempoh sehingga Jumaat ini pihak yang mengeluarkan dakwaan tidak benar tersebut membuat permohonan maaf, atau berdepan tindakan undang-undang.

"Saya rasa kita sebagai tempoh yang munasabah untuk dapat kajian apa yang kita sebutkan tadi.

"Mungkin sampai hari Jumaat untuk mereka lihat semula apa yang kita edarkan dalam kenyataan media dan mungkin mereka ada alasan mereka sendiri.

"Paling kurang tindakan minta maaf oleh pihak yang rasai mereka dalam membuat kenyataan yang tidak betul.

“Kalau kita rasa penting dan kita punya reputasi terjejas, kita akan dapat nasihat pada para peguam," katanya apabila ditanya sama ada akan mempertimbangkan tindakan undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS