Nor Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendakwa Peguam Negara Tommy Thomas mengarahkan pelantikan peguam Syazlin Mansor dibatalkan.
Katanya, ini disampaikan melalui sepucuk surat bertarikh 23 Mei.
"Kementerian dengan segera mematuhi nasihat AG dan mengarahkan peguamnya untuk menarik diri daripada inkues itu," kata setiausaha politik itu dalam satu kenyataan media petang ini.
Syazlin mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues untuk menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Peguam itu juga adalah isteri kepada setiausaha akhbar Zuraida, Ahmad Soffian Mohd Shariff.
Sementara itu, Nor Hizwan juga menerangkan bahawa Syazlin dilantik pada peringkat awal untuk memastikan dan membantu penemuan fakta lengkap mengenai kematian Adib.
"Perkara ini sangat penting bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kementerian memandangkan anggota jabatan itu meninggal dunia dalam menjalankan tugasnya.
"Telah diketahui umum bahawa peguam itu telah mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kementerian sejak inkues bermula pada 11 Feb, 2019.
"Tiada sebarang bantahan yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam inkues sepanjang tempoh inkues yang hampir berakhir itu," katanya.