Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin melantik peguam Syazlin Mansor tanpa pengetahuan Peguam Negara Tommy Thomas, menurut laporan berita.
Edgemarkets, yang memetik sumber yang rapat dengan Jabatan Peguam Negara, berkata kementerian itu mempunyai pegawai undang-undang mereka sendiri.
Lebih-lebih lagi, sumber itu berkata Syazlin, yang merupakan isteri salah seorang pegawai Zuraida, akan berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana beliau juga mewakili keluarga allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Syazlin dilantik untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues untuk menentukan kematian anggota bomba itu semasa rusuhan di kuil Seafield.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa pemilihan masa Syazlin mengumumkan penarikan dirinya adalah tidak penting kerana isu ini adalah berkaitan konflik kepentingan.
"Ini boleh mencetuskan konflik kepentingan sekiranya keluarga Adib memutuskan untuk menyaman kerajaan kemudian hari nanti," kata sumber itu.
Walau bagaimanapun, sumber itu berkata peguam yang dilantik pertama kali oleh keluarga Adib boleh terus mewakili mereka.
Semasa dihubungi hari ini, Thomas enggan mengulas mengenai perkara itu.
Semalam, Zuraida memberitahu Malaysiakini bahawa peranan peguam swasta itu kini bersifat kelewahan (redundant).
Menteri itu berkata ini adalah kerana AG mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Syazlin mengumumkan pengundurannya dari prosiding di Mahkamah Koroner di Shah Alam semalam.
Peguam itu kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa beliau membuat keputusan tersebut susulan terdapat perkembangan baru tetapi enggan menghuraikan butirannya.
Syazlin juga enggan mengulas mengenai laporan Sinar Harian, yang mengaitkan keputusannya untuk menarik diri dengan sepucuk surat daripada seorang pegawai kanan kerajaan yang mengawasi hal-hal perundangan.