Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Najib debat dengan hakim saja di mahkamah

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong keputusan Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurutnya, Lim tidak seharusnya berdebat dengan seorang ‘pencuri’.

“Buat apa nak berdebat dengan pencuri,” kata Syed Saddiq ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas hal ini memandangkan beliau bekas pendebat terbaik Asia pada 2015.

MP Muar itu dalam masa yang sama turut mencadangkan agar Najib berdebat di hadapan hakim di mahkamah.

“Saya cadangkan Najib berdebat dengan hakim di mahkamah.

“Beliau akan diadili di sana. Ini kerajaan yang berpegang teguh dengan prinsip rule of law,” katanya lagi.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyokong keputusan Lim dengan menyifatkan ia langkah bijak untuk mengelakkan ketegangan kaum.

Sebelum ini Lim dilihat sering menumpukan kritikannya terhadap Najib meskipun ahli parlimen Pekan itu bukan lagi perdana menteri atau presiden Umno.

Selasa lalu, Najib mencabar Lim untuk berdebat dengan sebarang topik.

Mengulas cabaran itu, Lim mencadangkan topik "Bagaimana Malaysia menjadi negara kleptokrasi global dan bagaimana kita mampu menjadi peneraju negara berintegriti".

Najib kemudian bersetuju dengan topik itu.

Dua hari kemudian, Lim memaklumkan bahawa dia menarik diri dari menyertai debat itu kerana menurutnya dia menerima banyak nasihat daripada penyokongnya untuk tidak turut serta.

Sebab utama yang dinyatakan adalah, menurut Lim, kebimbangan debat dengan Najib itu akan dijadikan "konflik Melayu lawan Cina".

Najib bagaimanapun mendakwa Lim cuma sekadar memberi alasan.

"Adakah ini satu pengakuan dari Kit Siang bahawa DAP adalah parti Cina?

"Ini debat antara dua ahli parlimen. Tak ada kena-mengena dengan isu perkauman," kata Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS