Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli politik, pegawai k'jaan diseru bekerjasama pulihkan negara

Orang politik dan pegawai-pegawai kerajaan perlu bekerjasama memperbaiki keadaan dan menambah baik penyampaian kepada rakyat, dalam usaha memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan baru kini telah mula membetulkan dan mengemas kini budaya kerja, serta sikap dalam mengendalikan pentadbiran kerajaan.

"Kita mahu laksanakan systemic change atau perubahan yang menyeluruh, tetapi ia menuntut kefahaman, kerjasama dan sokongan semua pihak, khususnya pegawai-pegawai kerajaan dan kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya di Majlis IFTAR Perdana bersama Ketua-ketua Jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Beliau juga berharap, agar setiap pegawai kerajaan di semua peringkat memainkan peranan dalam memastikan sokongan rakyat mendapat manfaat dari pelbagai program dan inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan kini sedang memperbetulkan pengurusan sistem pentadbiran, kewangan, ekonomi, kehakiman dan banyak lagi, yang telah rosak sepanjang Umno-BN berkuasa.

"Kita hari ini, cuba menyelesaikan masalah kos sara hidup, mengembalikan prestasi ekonomi negara menjadi ‘the new tiger of Asia’ serta memperkukuhkan keharmonian masyarakat," katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata ekonomi negara berada dalam landasan yang betul untuk pulih, di mana pertumbuhan positif direkodkan pada suku pertama tahun ini.

Katanya Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus minggu lepas mengumumkan mengenai prestasi ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran pasaran 4.3 peratus.

"Pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama ini disokong oleh pemulihan dalam sektor pertanian, terutama pengeluaran minyak sawit mentah dan eksport bersih yang tinggi," katanya.

Tambahnya, Malaysia kekal dalam landasan pertumbuhan kukuh dengan dijangka berkembang antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS