Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian: TRX diteruskan untuk elak 'kos hangus'
Diterbitkan:  May 24, 2019 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek Tun Razak Exchange (TRX) kerana percaya ia memberi manfaat kepada negara, asalkan projek itu "dibersihkan" terlebih dahulu daripada skandal 1MDB.

Keputusan itu juga bagi mengelakkan projek mega bernilai RM40 bilion itu menjadi "kos hangus" (sunk cost) - iaitu kos pada masa lalu yang tidak dapat ditebus.

Hal itu dinyatakan jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan Anggota Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid berkenaan impak projek itu terhadap ekonomi negara dan sama ada ia akan menyebabkan kerugian.

Kementerian Kewangan menjelaskan pada 20 Jun 2018, kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek itu dan menyalurkan pelaburan tambahan berjumlah RM2.799 secara berperingkat sehingga 2024.

"Berdasarkan andaian yang munasabah, pelaburan tambahan kerajaan melalui penyaluran geran sebanyak RM2.799 bilion ini akan membolehkan TRX mendapatkan pulangan sebanyak RM5.69 bilion.

"Sokongan kerajaan terhadap projek TRX amat penting dalam memastikan dana kerajaan yang telah dan akan dilaburkan tidak menjadi sunk cost tanpa sebarang pulangan, di samping membantu membersihkan nama TRX dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap projek tersebut," katanya.

Kementerian Kewangan bagaimanapun berkata ia belum memutuskan jumlah pulangan daripada projek itu yang akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Mengulas lanjut, kementerian itu menyifatkan TRX sebagai "projek strategik nasional" yang mampu memacu ekonomi Malaysia dengan menarik pelabur, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi global yang lebih berdaya saing.

"Ini hasil usaha detox yang Kementerian Kewangan lakukan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018 terhadap projek TRX yang terpalit dengan skandal 1MDB."

Usaha 'detox' itu termasuk mengenal pasti, mengasingkan dan kuarantin unsur korupsi, salah guna kuasa dan salah laku berkaitan skandal 1MDB oleh "oleh pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu ".

Setakat hari ini, kata kementerian itu lagi, TRX kini "projek bebas rasuah" dan mampu menjadi projek bertaraf antarabangsa selepas siap nanti.

Projek TRX dibangunkan oleh syarikat milik Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd secara usaha sama dengan syarikat hartanah berpangkalan di Sydney, Lendlease.

Ia berkeluasan 70 ekar dan akan dibangunkan secara berperingkat, dengan bahagian gaya hidup "The Exchange" dengan keluasan 17 ekar dijadual siap pada 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS