Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa pihak menyuarakan pendapat berbeza berhubung isu kumpulan Whatsapp yang dikatakan boleh menjadi penyumbang kemurungan.

Menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad, kumpulan Whatsapp boleh dikategorikan sebagai faktor kemurungan jika pengunaan terhadap aplikasi tersebut tidak terbatas.

“Benda ini (grup Whatsapp) boleh dijadikan faktor orang kemurungan.

“Kadang-kadang pengguna ketika itu mungkin tengah tertekan dan jika terlampau banyak (kumpulan Whatsapp) ia menjerumus kepada kemurungan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

WhatsApp adalah sebuah aplikasi yang menyediakan perkhidmatan mesej pesanan ringkas, panggilan video dan penghantaran imej serta video secara percuma.

Aplikasi yang dimiliki oleh Facebook itu juga memaparkan beberapa kegunaan lain antaranya grup Whatsapp yang membolehkan sekumpulan orang boleh berbincang berkenaan satu topik pada satu-satu masa.

Mesej undang salah faham

Tambah Fauziah, grup Whatsapp boleh mennyumbang kepada kemurungan atas sikap segelintir pihak yang menyalahgunakan aplikasi tersebut.

“Remaja yang mengunakan (grup Whatsapp) tanpa pemantauan ini bahaya kerana mungkin ada mesej yang dihantar mengundang salah faham.

“Ramai remaja sering mengeluarkan kata-kata tanpa tapis dan ia boleh menyentuh perasaan seseorang,” katanya.

Fauziah juga berkata pernah terjadi kes dimana seorang remaja pernah berkongsi masalah dalam aplikasi tersebut mengharapkan bantuan namun rakannya dilihat mengecam remaja itu.

Tambahnya, jika seseorang mengalami masalah kemurungan, mereka mengharapkan bantuan melalui medium itu, rakan terdekat harus memberi perhatian dalam membantu mereka.

Penyakit utama lepas jantung

Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada sepuluh anak muda atau sepuluh peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Kajian yang sama turut menyatakan 29 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kemurungan dan kerisauan (anxiety) berbanding 12 peratus pada 2011.

Menjelang 2020 penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan utama rakyat Malaysia selepas penyakit jantung, manakala kemurungan pula dikenal pasti sebagai penyumbang besarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kajian yang sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Fauziah menjelaskan terdapat beberapa cara boleh dilakukan bagi membantu pesakit kemurungan menerusi aplikasi kumpulan Whatsapp.

“Kalau grup (Whatsapp) itu bagus, mereka akan memahami keperluan dalam menghantar mesej. Lebih baik hadkan dan hantar mesej perlu saja.

“Bagus jika dalam kumpulan itu mempunyai seorang pesakit kemurungan, mereka boleh menasihati mereka dengan beri kata semangat yang merangsang perasaan positif,” katanya.

Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun dan biasanya dikaitkan dengan bunuh diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Prof Dr Hussain Habil (gambar) menjelaskan grup Whatsapp boleh dijadikan satu alternatif bagi membantu pihak yang mengalami kemurungan.

“Ia semakin sukar kerana teknologi seperti kumpulan Whatsapp ini boleh digunakan untuk membantu mereka (pihak yang mengalami kemurungan)

“Saya tidak rasa kita patut salahkan teknologi namun kita harus mengajar orang ramai untuk lebih bijak dalam mengunakkan teknologi itu,” katanya.

Hussain yang juga merupakan bekas presiden Persatuan Psikiatrik Asean berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu main peranan dalam membantu pihak yang mengalami kemurungan.

“Isu begini NGO perlu main peranan seperti memberi pendedahan tentang cara efisien mengunakan aplikasi itu (kumpulan Whatsapp).

“Mungkin beritahu masyarakat bagaimana membantu mereka ini (pihak yang mengalami kemurungan),” katanya.

Statistik Befrinders menunjukkan kes bunuh diri di Malaysia meningkat dengan kadar yang tinggi pada tahun lalu apabila sebanyak 37.5 peratus kes direkodkan.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 7 peratus berbanding 29.8 peratus pada tahun 2017 serta mencatat peningkatan peratus tertinggi sepanjang dua tahun.

Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim menjelaskan kumpulan Whatsapp tidak begitu sesuai dari segi memberi sokongan emosi kepada mereka yang mengalami kemurungan.

“Biasanya mesej di dalam kumpulan WhatsApp ini ramai tidak peka.

“Ya benar ada juga mereka (pihak mengalami kemurungan) meminta tolong menerusi aplikasi itu (kumpulan Whatsapp) tetapi jika yang membaca adalah ahli pasif, mereka tidak akan ambil kisah,” katanya.

Kata Lim lagi, keadaan ini akan jadi lebih serius jika ahli dalam kumpulan itu tidak mengendahkan mesej pesakit kemurungan malah memberikan tanda semak biru (blue tick).

“Sokongan emosi boleh diberi melalui kumpulan WhatsApp tetapi ia lebih sukar jika dibandingkan dengan bersemuka atau melalui telefon.

“Ini kerana melalui WhatsApp, tidak ada raut wajah (perbualan secara bersemuka), pergerakan badan (body language) dan intonasi suara. Maka, lebih susah untuk meluahkan perasaan sebenarnya,” katanya.

Selain itu, Lim menyarankan supaya orang ramai lebih peka terhadap segelintir pihak yang mungkin memberi mesej menunjukkan petanda kemurungan.

“Kenali apa tanda amaran yang boleh diberi, seperti kenyataan 'saya tidak boleh teruskan lagi', 'saya sangat penat', 'maafkan saya’, atau ‘selamat tinggal'.

“Jika ini dikesan dalam kumpulan WhatsApp, cuba hantar mesej kepada pihak itu secara persendirian sebagai tanda prihatin dan ini juga menghormati privasi kawan anda yang lain,” katanya.

Befrienders merupakan pertubuhan sukarela yang ditubuhkan sejak 1970 untuk memberi sokongan emosi kepada individu yang mempunyai masalah emosi yang serius sehingga mahu membunuh diri.

Selain menyediakan perkhidmatan talian bantuan melalui telefon dan e-mel, Befrienders juga menyediakan bantuan melalui temu janji untuk perjumpaan secara peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS