Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin petang ini tampil memohon maaf susulan paparan dua gambar anggota Jabatan Amal Malaysia - bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang - yang mengiringi hantaran mengenai kes bakar keretanya.
Hantaran tersebut dimuat naik oleh pengendali laman Facebook Mohd Asri hari ini dan mengundang kecaman PAS.
Hantaran itu kemudian dipadamkan petang tadi.
“Saya mewakili laman ini memohon maaf jika ada persepsi yang salah diberikan sebelum laporan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dikeluarkan berkaitan isu ini.
"Kita hendaklah menunggu kenyataan rasmi PDRM.
“Secara peribadi, saya percaya YB Presiden PAS dengan kedudukan beliau, tidak mungkin memberikan arahan jahat seperti itu. Pihak lain mungkin patut disiasat,” katanya dalam satu kenyataaan terbaru di Facebook.
Mohd Asri berkata hantaran sebelum itu yang meletakkan dua anggota Unit Amal PAS bersama Abdul Hadi adalah tindakan yang "tidak sepatutnya" kerana boleh memberi tafsiran yang negatif kepada pihak lain.
“Kewujudan seseorang dalam sesuatu gambar tidak menunjukkan beliau bersetuju dengan tindakan orang lain dalam gambar itu. Apatah lagi di zaman ini yang manusia kegilaan bergambar terutama bersama tokoh dan individu yang ternama.
“Namun, jika tindakan seseorang itu terbukti berasaskan cadangan atau hasutan seseorang tokoh, maka barulah tokoh itu bolehlah dikaitkan.
"[...] Walaupun banyak laporan yang saya dengar dalam kes ini, secara langsung dan tidak langsung, saya merasakan kita wajar menunggu kenyataan PDRM. Ini kerana di sana ada lagi kes lain yang sedang disiasat,” katanya lagi.
Tindakan pengendali laman Drmaza.com memuat naik gambar dua suspek bersama Abdul Hadi menerima kecaman daripada Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Mohd Nazree Mohd Aris yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Malah, Ahmad Fadhli menyifatkan pengendali tersebut sebagai seseorang yang "tidak berakhlak".
Terdahulu, Mohd Nazree mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu.
Bagaimanapun, Nazree menyuarakan kehairanannya kerana menurutnya, suspek utama yang dicari merupakan penagih dadah, sedangkan anggota Unit Amal yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.