Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek RTS ditangguh, k'jaan bayar Singapura RM2 juta
Diterbitkan:  May 21, 2019 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Kerajaan perlu membayar RM2 juta kepada Singapura susulan penangguhan projek Sistem Transit Rapid Johor - Singapura (RTS), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Perkara itu dinyatakan selepas menandatangani perjanjian penangguhan projek itu selama enam bulan bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan.

Loke berkata kos tersebut merupakan kos penangguhan (abortive cost) dan akan dibayar sebelum 30 Julai ini.

"Perjanjian itu akan membolehkan kita mempunyai sedikit masa untuk meneroka penyelesaian yang murah dan mampan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di sempadan.

"Ini termasuk inisiatif baru seperti penambahbaikan kepada infrastruktur fizikal di sempadan, kajian semula dasar dan peraturan antara sempadan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan merentas sempadan.

"Malaysia akan menanggung kos persetujuan untuk menggantung projek RTS," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Loke sekiranya pada 30 Sept Malaysia tidak meneruskan projek berkenaan, kerajaan akan menanggung kos yang dipersetujui dengan Singapura dalam memenuhi perjanjian dua hala.

"Penangguhan ini bukannya bermaksud kita membatalkan projek ini.

"Kita nak runding semula supaya terma yang lebih baik, supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan lebih efektif," katanya.

Projek sepanjang 4km itu dirancang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura melalui jambatan merentasi Selat Johor.

Loke sebelum ini menganggarkan projek itu menelan kos sebanyak RM4 bilion.

Perkembangan projek itu bagaimanapun terjejas apabila sebidang tanah didapati berada atas nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memerlukan kerajaan persekutan membayar pampasan kepada baginda dan seterusnya menaikkan kos asal projek tersebut.

Pertukaran tanah itu dilakukan pada 2017 ketika pentadbiran kerajaan BN, dua hari selepas Sultan Ibrahim menyatakan secara terbuka "keraguan serius" mengenai penjajaran RTS.

Dalam responsnya, Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak menyedari memiliki sebarang tanah yang terlibat dalam projek RTS dan bersedia menyerahkannya kepada kerajaan tanpa sebarang kos sekiranya perlu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS