Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Memang ada gerakan nak bawa Zahid kembali
Diterbitkan:  May 20, 2019 3:51 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Sumber dalaman Umno mengakui memang wujud gerakan pihak tertentu untuk membawa Ahmad Zahid Hamidi menjadi presiden parti itu semula.

Katanya gerakan mahu 'menarik' semula Ahmad Zahid ke arus perdana itu digerakkan oleh ketua-ketua Umno di bahagian tertentu, selain penyokong anggota parlimen terbabit.

Bagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan bahagian mana yang terlibat dalam gerakan tersebut.

"Memang ada usaha digerakkan penyokong dan ketua bahagian yang mahu membawa balik Ahmad Zahid menerajui Umno," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun kata sumber terbabit buat masa ini Ahmad Zahid agak keberatan dengan gerakan tersebut kerana berpendapat Umno kini berada dalam keadaan selesa dan tidak perlu diganggu.

Katanya Ahmad Zahid hanya akan bersedia mengambil semula tugas sebagai presiden Umno jika penyandang - Mohamad Hasan - menyerahkannya secara baik dan rela.

"Beliau (Ahmad Zahid) hanya akan mengambil alih jawatan itu sekiranya Mohamad sendiri berasakan sudah tiba masanya untuk beliau menyerahkan jawatan itu kembali," katanya.

Minta lepas terus

Ahmad Zahid adalah timbalan perdana menteri ketika Najib Razak membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada tahun lalu.

Apabila PRU ke-14 diadakan Umno dan BN - buat pertama kali - gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk kembali menerajui Putrajaya.

Gabungan itu juga gagal berkuasa semula di hampir semua negeri di Malaysia. Kegagalan itu mendorong Najib Razak berundur daripada jawatannya sebagai presiden Umno.

Melalui pemilihan yang diadakan kemudian Ahmad Zahid memenangi jawatan presiden Umno, namun beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa di mahkamah atas 47 tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa.


Baca Tempoh Zahid bercuti ikut kasyaf ulama


Keadaan itu mengundang desakan dari dalam Umno sendiri untuk beliau bercuti sementara kesnya diselesaikan di mahkamah. Mohamad yang memenangi jawatan timbalan presiden Umno kemudian mengambil alih tugas sebagai presiden.

Namun pada ketika tertentu Ahmad Zahid pernah membayangkan beliau akan kembali menerajui Umno pada waktu yang sesuai.

Hari ini pula, Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang, secara terbuka meminta Ahmad Zahid melepaskan terus kepemimpinan parti itu kepada orang lain.

Kata Maulizan desakan itu dibuat selepas pihaknya menyedari terdapat gerakan untuk membawa balik Ahmad Zahid menjadi presiden Umno. 

Menurut sumber terbabit Ahmad Zahid memang sedar Umno berdepan risiko perpecahan jika beliau membuat keputusan kembali menerajui Umno.

"Keadaan Umno ketika ini cukup elok dan Ahmad Zahid tidak berhasrat untuk merosakkannya.

"Beliau sedar jika kembali menerajui Umno pada masa ini akan berlaku perpecahan dalam Umno, akan wujud kumpulan tertentu.

"Maka akan wujudlah team Zahid dan team Mat Hasan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS