Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga kecewa perniagaan lembap tak seperti di Jalan TAR

Erin Marzuki hanya melihat pengunjung yang lalu lalang di hadapan gerainya di bazar Ramadan Jalan Raja sambil mengharapkan ada yang singgah dan membeli jualannya.

Jika di gerai lamanya dahulu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), pada waktu-waktu begini dia sedang sibuk melayani pelanggan yang ramai, lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu.

Peniaga pakaian tradisional kanak-kanak berusia 37 tahun itu berkata, keadaan kini berubah apabila bazar Ramadan Jalan TAR dipindahkan ke jalan berhampiran Dataran Merdeka itu.

“Perniagaan perlahan-lahan macam nak mati,” katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Meskipun sudah memasuki hari ke-15 Ramadan, menurut Erin hanya 30 peratus sahaja jualannya terjual setakat ini jika dibandingkan di Jalan TAR sebelum ini.

“Stok baru pun saya tak keluarkan lagi. Lain kali jangan buat kat sini lagi. Kawasan tak strategik. Ini tempat pelancongan, bukan perniagaan - tak boleh campurkan,” luahnya sambil menunjukkan stok baru yang masih tersimpan kemas dalam plastik.

Pada 25 Mac lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Shahruddin Md Salleh mengumumkan lokasi baru bazar Ramadan di Jalan Raja di Kuala Lumpur menggantikan bazar di lorong Jalan TAR / Jalan Masjid India.

Katanya, lokasi asal tidak lagi sesuai memandangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat banyak bantahan daripada pemilik premis kedai berhampiran, selain isu kesesakan lalu lintas yang teruk dan masalah longgokan sampah.

Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meminta DBKL diberi peluang untuk  melaksanakan rancangan pemindahan itu.

Khalid berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan rancangan DBKL, pada masa sama terdapat kumpulan lain menyokong cadangan berkenaan.

Namun rata-rata peniaga yang ditemui Malaysiakini meluahkan rasa tidak puas hati dengan lokasi di Jalan Raja yang dikatakan tidak sesuai dan menjadi punca utama pengunjung berkurangan sehingga menjejaskan jualan.

Kebanyakan mereka membandingkan lokasi di Jalan TAR yang disifatkan lebih strategik memandangkan ia berdekatan dengan pusat membeli belah terkenal dan premis pejabat.

Stok masih tersimpan

Peniaga tudung Nursyuzlyana Suherman, 23 mengakui jualannya di Jalan TAR sebelum ini mampu mencecah sehingga RM6,000 sehari berbanding sekitar RM300 yang diperolehinya sekarang.

“Kalau Jalan TAR, awal-awal orang dah ramai, pagi-pagi orang dah beli.

“Selesa tak selesa tu tak kisah tapi lagi suka kat tempat lama (Jalan TAR). Kat sini orang semata-mata jalan saja,” katanya.

Peniaga sampin yang hanya ingin dikenali sebagai Khairuddin juga berpendapat seperti Erin dan Nursyuzlyana.

Katanya, lokasi tidak strategik itu juga menyebabkan stok jualannya masih tersimpan di rumah.

Khairuddin yang menjalankan pernigaan keluarganya sejak 25 tahun lalu berkata, , jualannya kini kurang 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sini jauh sangat nak singgah kedai, tempat-tempat lain. Kalau hari minggu ada orang tapi hari-hari biasa memang kurang. Jalan TAR lagi ramai. 

"Malam-malam lagi ramai orang tapi sini tak macam tu,” katanya.

Pengunjung ramai tapi tak membeli

Tinjauan Malaysiakini juga mendapati khemah putih yang disediakan oleh DBKL sepanjang kira-kira 500 meter terletak kurang 1 kilometer dari LRT Masjid Jamek.

Ia dilengkapi dengan kipas siling dan kipas gantung serta beberapa sudut yang baru sahaja dipasang pendingin hawa.

Ruang bagi pengunjung berjalan menerusi khemah itu juga tidak menyesakkan seperti di Jalan TAR yang menyebabkan pembeli terpaksa 'berlanggar bahu' sesama sendiri.

Namun peniaga memberitahu keadaan berhaba tanpa sistem pengudaraan yang baik disebabkan rekabentuk gerai yang tertutup bukanlah isu utama dihadapi mereka.

Ini kerana keadaan tersebut tidak banyak beza jika dibandingkan di tempat lain. 

Namun, apa yang menjadi perkiraan peniaga terbabit adalah jualan mereka yang kini terjejas.

Pengunjung yang datang kebanyakannya hanya tertumpu di beberapa kedai dan tidak semua melakukan pembelian.

Rata-rata mereka lebih gemar membelek-belek dan bertanyakan harga sebelum berlalu pergi.

Perlu tambah baik

Pemandangan yang sama berlaku di gerai jualan songkok Mohd Rizal Darwish, 56. 

Kira-kira setiap 10 minit, Mohd Rizal disapa pengunjung yang bertanyakan saiz dan harga sambil mencuba songkok yang tersusun di gerainya itu.

Namun, seperti yang dijangka mereka hanya berlalu pergi tanpa membeli.

“Jalan TAR dengan sini memang berbeza. Tahun ini baru pertama kali kat sini, jadi tak nampak lagi (hasil) bergantung juga macam mana mereka berbelanja,” katanya.

Menganggap pengunjung di situ lebih berkira-kira dalam soal berbelanja, Mohd Rizal mencadangkan keadaan itu ditambahbaik dengan mengadakan gerai makanan berdekatan.

Katanya, ini kerana kenderaan saji (foodtruck) sedia ada untuk waktu berbuka puasa masih tidak mampu menarik pengunjung.

“Saya lebih pilih di sini. Hujan panas pun orang tak kisah sebab peniaga tak perlu tutup (gerai) dengan plastik,” katanya.

Pembeli berbelanja di saat akhir

Bagaimanapun, berbeza bagi Mohammad Salihin Mohd Arif yang memang tidak meletakkan harapan tinggi pada minggu kedua Ramadan.

Meskipun mengakui terdapat kekurangan tetapi peniaga kuih raya berusia 23 tahun itu lebih selesa di tempat baru kerana berasa lebih selamat dan gerai yang terurus.

Katanya, ini memandangkan kebanyakan orang ramai akan mula membeli kuih seminggu sebelum raya atau pada malam raya, kerana mereka menjangkakan jualan lelong pada saat-saat akhir.

“Orang memang ramai dan mereka tak beli tapi jalan terus saja. Kita dah tau trend (pembeli), jadi tak letak harapan tinggi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS