Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Islam terancam: Jangan adakan benda tak ada, kata Nik Omar

Tanggapan bahawa kedudukan Islam terancam di bawah pentadbiran PH didakwa sengaja diwujudkan untuk memainkan sentimen agar imej kerajaan persekutuan buruk, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Isu berkenaan juga, katanya, sengaja dibesar-besarkan untuk menarik sokongan rakyat kepada pihak pengkritik dan menampakkan mereka sebagai parti yang kuat.

"Dalam politik kita memang nak parti kita kuat, tetapi (untuk menguatkan part) jangan sampai ke peringkat mengada-adakan benda yang tak ada.

"Dalam sudut agama perkara ini dilarang, dan ia tidak menguntungkan negara," katanya.

Anak kepada bekas menteri besar Kelantan itu juga menegaskan, keutamaan rakyat negara ini seharusnya ditumpukan kepada negara, bukan parti atau politik kepartian.

Nik Omar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Makan Colek dan Santai Ramadan di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, isu Islam terancam diketengahkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, dengan memberikan markah "kosong peratus" terhadap prestasi pemerkasaan Islam oleh kerajaan PH.

Tak macam dulu

Pada 4 Mei lalu, Isma melalui Gerakan Pembela Ummah menganjurkan himpunan "mempertahankan kedaulatan Islam" di ibu negara atas alasan Islam sekarang terancam.

Perhimpunan itu turut melibatkan pemimpin pembangkang termasuk PAS dan Umno.

Bagaimanapun selepas itu NGO itu menganjurkan program keagamaan dengan kerjasama agensi kerajaan PH di Selangor.

Majlis itu ialah tadarus dan khatam al-Quran anjuran Biro Wanita Isma Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Namun, Aminuddin tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Islam terancam di bawah PH meski pun pentadbiran baru memberikan ruang kepada pertubuhan itu untuk menganjurkan program dengan kerjasama agensi kerajaan.

Sementara itu Nik Omar menjelaskan, isu tersebut dimainkan untuk membentuk persepsi negatif terhadap PH walaupun pada hakikatnya keadaan adalah sebaliknya.

"Sebenarnya tak ada masalah, bahkan pada tahun pertama lagi kerajaan PH beri peruntukan tambahan (untuk kegiatan Islam) lebih kurang RM100 juta.

"Takdirnya, saya juga terlibat dalam pengurusan negara, diberi amanah urus satu agensi di bawah seliaan menteri hal ehwal agama dan kita lihat macam mana (keadaan sekarang).

"Contoh paling ketara, sumbangan bertambah kepada institusi pendidikan sama ada sekolah tahfiz swasta atau pondok seluruh Malaysia - itu pun sudah memberikan gambaran betapa pembangunan Islam diberi tumpuan," katanya.

Nik Omar berkata isu tersebut mungkin terserlah susulan kerajaan memberi ruang lebih terbuka terhadap kebebasan media.

"Maka individu, organisasi diberi peluang, hatta kita tengok beberapa kali perhimpunan diadakan tanpa gangguan, jauh berbeza pengurusan kerajaan sebelum ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS