Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kisah keluarga Bajau Laut terbiar tanpa kerakyatan

Seawal abad ke-15 lagi Bajau Laut sudah bergerak bebas di Zon Sulu - kawasan sekitar Laut Sulu dan Laut Sulawesi - sehinggalah wujud konsep sempadan negara bangsa.

Namun sehingga kini terdapat segelintir daripada mereka masih memilih untuk menjalani kehidupan di laut.

Sering disebut sebagai 'nelayan laut' atau Sama Dilaut, iaitu kumpulan dari Sama-Bajau - berdepan kesukaran menjalani kehidupan di laut dengan sumber pencarian yang terbatas.

Dan ini termasuklah Unggun, yang tinggal di sebuah perahu tradisional Bajau Laut di perairan Semporna hampir sepanjang hidupnya - selepas melarikan diri dari Tawi-Tawi pada usia muda.

Tanpa bekalan elektrik, dia dan keluarganya seolah-olah terpinggir daripada banyak aspek kehidupan moden. Mereka bukan sahaja tidak tahu tentang pertukaran kerajaan pada 9 Mei tahun lalu, malah tarikh lahir sendiri pun mereka tidak pasti.

Bagaimanapun, Unggun tidak melihat pendidikan sebagai satu cara untuk memperbaiki kehidupan masyarakatnya.

"Saya tidak fikir begitu," katanya apabila ditanya sama ada sekolah di atas bot boleh membantu.

"Orang Bajau Laut yang lain boleh pergi ke sekolah, tetapi kami tidak."

Walaupun pendidikan amat penting untuk generasi baru Bajau Laut menyesuaikan diri dengan kehidupan moden, namun Unggun percaya satu-satunya kemahiran yang bernilai untuk dipelajari adalah menangkap ikan.

Pengetahuan itulah yang dia wariskan kepada empat anak lelakinya.

Sekolah di laut

Iskul Sama Dilaut Omadal, sebuah sekolah masyarakat di Pulau Omadal, telah menyediakan pendidikan asas untuk kanak-kanak Bajau Laut yang tidak mempunyai status sejak 2015.

Pengetua sekolah berkenaan, Roziah, menganggarkan terdapat kira-kira 500 orang di pulau itu, termasuk mereka yang tinggal di rumah-rumah dan di rumah perahu.

Daripada 35 orang pelajarnya berusia antara tujuh hingga 12 tahun, hanya satu dari keluarga yang tinggal di rumah perahu. Ini menunjukkan lima atau enam keluarga yang tinggal di rumah perahu enggan memberikan pendidikan formal kepada anak mereka.

"Kami orang Bajau Laut sudah biasa dengan kehidupan ini," kata Unggun.

"Dan kadang-kadang, mereka tidak boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan sekolah biasa."

Seperti yang dikatakan Roziah, "Keluarga rumah Bajau Laut boleh membawa anak-anak mereka ke tempat lain untuk memangkap ikan. Jika ibu bapa mereka melihat itu untuk kehidupannya, saya tidak boleh menghalang mereka," katanya.

Malah katanya, pelajar yang tinggal di rumah perahu hanya hadir ke sekolah sekali atau dua kali sebulan, walaupun sudah banyak kali diberitahu kepada ibu bapa mereka.

Jelas Roziah tugasnya berdepan kesukaran kerana pelajar diajar tentang Malaysia, namun hakikatnya mereka tidak memiliki kerakyatan.

"Kami mengajar mereka Bahasa Malaysia, mengenai bendera kebangsaan, negeri-negeri dan setiap perayaan seolah-olah mereka adalah warganegara, tetapi mereka tidak, tetapi kami sekurang-kurangnya harus memberitahu mereka 'inilah rakyat Malaysia'...".

Lirik lagu kebangsaan Negaraku diletakkan di dinding sekolah di Semporna

Roziah percaya ia adalah persediaan dan satu keperluan untuk proses menjadi rakyat Malaysia satu hari nanti. Atau sekurang-kurangnya, untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan rakyat Malaysia yang lain.

"Kami mahu mereka tahu mereka dihargai oleh kerajaan dan masyarakat setempat, jika kerajaan tahu siapa mereka, maka mungkin mereka tidak akan memandang rendah diri sendiri," katanya.

Sudah pasti perkara yang ideal adalah kanak-kanak ini mendapatkan kewarganegaraan, atau sekurang-kurangnya, dokumentasi yang betul.

Roziah teringat seorang ibu bapa pernah bertanya kepadanya, "Jika anak saya boleh membaca dan menulis, tetapi dia masih ditangkap ketika dia bekerja di darat, jadi kenapa dia mesti berpelajaran?"

Kewarganegaraan yang rumit

Sanen Marshall, pensyarah politik di Universiti Malaysia Sabah, memberi gambaran tentang kerumitan kumpulan Bajau Laut yang tinggal di rumah perahu untuk mendapat kewarganegaraan.

"Satu sebab ialah mereka yang tinggal di rumah perahu secara tidak sengaja telah ketinggalan daripada mendapat inisiatif politik dan birokrasi untuk memproses identifikasi," katanya.

"Kedua, terdapat keluarga Bajau Laut yang berulang-alik antara Sabah dan Filipina sejak, atau bahkan sebelum Perang Dunia Kedua.

"Sebagai contoh, ada satu keluarga dengan 12 orang anak. Enam yang pertama dilahirkan di Filipina, yang ketujuh dan kelapan di Sabah, dan selebihnya di salah satu daripada kedua-dua negara.

Malaysia katanya, mempunyai prasyarat yang ketat untuk mendapat kewarganegaraan, seperti sijil perkahwinan dan sijil kelahiran anak.

Tetapi orang-orang Bajau Laut di rumah perahu ini biasanya tidak mempunyai sijil perkahwinan, dan walaupun mereka memilikinya, ia mungkin tidak diiktiraf secara rasmi.

Untuk mendaftarkan kelahiran, pengesahan dari hospital mesti diperoleh, atau sekurang-kurangnya dari bidan atau doktor.

Selain dari kos perjalanan, segelintir Bajau Laut tidak bersedia untuk mengambil risiko diusir ketika dalam perjalanan untuk ke satu-satu hospital di Semporna.

Bahkan ada yang tidak mampu membayar kos bersalin walaupun mereka mengetahui pentingnya sijil kelahiran. Dan kepada yang lain seperti Unggun, konsep itu sendiri adalah asing.

Disebabkan itu, ramai Bajau Laut terperangkap dalam kitaran kejam tanpa kewarganegaraan dari generasi ke generasi.

"Jika kerajaan Filipina mengisytiharkan bahawa beberapa Bajau Laut yang dijumpai dalam sempadan Malaysia adalah rakyat mereka sendiri, saya tidak fikir Malaysia akan mengeluarkan kewarganegaraan, kerana mereka sudah diiktiraf oleh negara lain," kata Marshall.

Kewarganegaraan Bajau Laut yang ini kelihatan sukar untuk diselesaikan.

Ia memerlukan kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia untuk mengkaji kepelbagaian budaya masyarakat, kerumitan dan mobiliti.

Ia adalah penting, supaya mereka tidak dikecualikan daripada perlindungan asas dan hak sebagai warganegara.

'Sama-sama Asli'

Duduk di lantai rumah lautnya sambil sinar cahaya matahari melantunkan gelombang hijau, Unggun berkata dia akan tinggal di mana dia berada.

"Saya akan tinggal di sini, ia aman di sini," katanya ketika ditanya apa yang akan dilakukannya jika diberi dokumen kerakyatan oleh Filipina.

"Kerajaan di sini tidak mengganggu kami, mereka hanya menahan kami sekiranya kami menimbulkan masalah," kata Unggun.

Walaupun mengetahui bahawa tidak mempunyai kad pengenalam akan berdepan risiko ditangkap di darat, dia tetapi tidak berkeupayaan dan tidak tahu untuk membawa walaupun memiliki IC.

Apabila ditanya sama ada beliau menganggap dirinya sebagai orang Filipina, Indonesia atau Malaysia, dia dengan bangga berkata, "Sama-sama-Asli" - dengan 'sama' yang bermaksud 'bersama' dan 'Asli' yang bermaksud 'asli'.

Unggun tidak menganggap dirinya tidak mempunyai kerakyatan; sebaliknya dia percaya bahawa dia hanya tidak mempunyai negara. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS