ULASAN | Najib Razak adalah perdana menteri bongsu daripada spesies Umno yang mungkin tiada lagi sambungannya hingga kiamat.
Kini mantan perdana menteri itu menghadapi lambakan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang jika satu-satu dibicarakan mungkin sekurun pun tidak habis.
Mungkin kita perlu menunggu datangnya kiamat daripada menunggu semua kesnya selesai dibicarakan.
Mengikut sistem perundangan yang dipakai - termasuk undang-undang Islam - seseorang yang dituduh tidak bersalah hinggalah ia ditentukan begitu atau sebaliknya oleh mahkamah.
Mahathir Mohamad semasa penggal pertamanya dulu pernah berkata, seseorang itu tidak semestinya dihukum rasuah barulah kita boleh kata dia rasuah, tetapi disangsi bersihnya jika dia dilihat rasuah.
Maka seseorang yang bersih rasuah itu bukan semata-mata bersih rasuah, tetapi mesti tidak dilihat rasuah.
Tohmah yang Najib hadapi kini sudah bertimbun, yang bakal dituduh juga bertimbun lagi. Tetapi apakah yang dilihat rasuah itu perdana menteri bongsu Umno itu saja?
Tidakkah dia mewarisinya daripada sekalian perdana menteri sebelumnya?
Enggan terlibat rasuah
Tiada yang sebelumnya ditakwil bersihnya kecuali Mahathir beberapa bulan sebelum menumbangkan Najib disuruhanjaya siasatan diraja dan disabitkan. Belum dikenakan hukuman.
Maka itu pun cukup untuk dikatakan tidak dilihat bersih.
Siapa di sepanjang 60 tahun merdeka tidak melihat Malaysia dan pemerintahannya negara rasuah. Cuma tiada jerung yang disebut dimahkamahkan. Semua kata, yang dimahkamahkan cuma bilis-bilis belaka.
Saya pernah diberitahu Almarhum Bahaman Samsudin, menteri dalam kabinet pertama Tunku Abdul Rahman sejak 1955. Dialah pencadang Tunku Abdul Rahman menjadi presiden Umno menggantikan Onn Jaafar dulu.
Dia pernah jadi DO (pegawai daerah) Lumut dan Teluk Intan. Pada PRU 1955 dia bertanding di Hilir Perak yang kawasannya termasuk Bagan Datuk, Teluk Intan dan Pasir Salak sekarang.
PRU 1959 dia balik ke tanah airnya di Negeri Sembilan. Tiada Umno menolak buntang dari ajak melainkan dia.
Awal 1960-an dia bersara politik. Saya jumpa dia di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Saya tanya, mengapa dia tidak menjadi menteri lagi? Jawabnya, dia tidak mahu terlibat dengan kerajaan rasuah yang sudah bermula sejak merdeka.
Dia jarang keluar dalam surat khabar. Dia menteri yang tidak dikacau pembangkang di parlimen. Cakapnya boleh dipercayai.
Jika Bahaman boleh dijadikan saksi, siapakah dalam Umno yang dipercayai bersihnya?
Jadi bubur semua
Semasa mula-mula dulu tiada badan pencegah rasuah yang khas. Mungkin rasuahnya sekadar RM10 kerana berbasikal pada waktu malam tak berlampu atau langgar lampu trafik.
Tunku mana pernah cukup duit. Elaunnya sebagai perdana menteri tak cukup. Menteri Kewangan ketika itu, Tan Siew Sin, dikatakan selalu bingung kerana cek yang Tunku keluarkan tidak berduit.
Kita tidak tahu apa yang Razak Hussein dan menteri-menterinya buat. Lepas 13 Mei 1969 Dr Ismail Abdul Rahman jadi timbalan perdana menteri dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) dibentuk.
Diangkatnya Harun Hashim jadi pengarah BPR. Ditangkapnya pembesar Umno termasuk menteri mesar. Menteri MCA pun ketakutan.
Selepas Razak menggantikan Tunku, BPR mulai lembik. Jerung tidak masuk perangkap lagi. Ia seolah-olah menghadapi bilis saja.
Dari zaman Razak hingga ke zaman Dollah Badawi Malaysia dirasakan sudah di belakang Indonesia, Filipina dan Thailand.
Rasuah dilihat sebagai sebahagian daripada budaya bangsa. Parahnya rasuah, Abdullah tukar BPR jadi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bagi membendung rasuah.
Tapi beras tidak jadi nasi. Jadi bubur semuanya. Jadilah Najib perdana menteri bongsu Umno. SPRM sudah tidak bergigi. Tinggal gusi, gigi palsu pun tidak lekat.
Sejak lahir Najib hidup di tengah budaya dilihat rasuah. Sangkanya rasuah itu sebahagian watak Melayu. Dia sambung saja legasi semua perdana menteri sebelumnya.
SUBKY LATIF ialah bekas wartawan kanan dan veteran PAS. Artikel ini asalnya diterbitkan harakahdaily dengan tajuk "PM Umno hanya menyambung."
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.