Paling Popular
Terkini

Saban tahun menjelang ketibaan hari raya Aidilfitri, ada sahaja rekaan baju raya yang dianggap luar biasa dan 'tidak masuk akal' diperkenalkan pereka fesyen tempatan.

Tahun ini antara yang mendapat perhatian warga internet adalah baju Melayu ‘Thor’ rekaan pelakon, Erry Putra.

Baju Melayu tersebut dilengkapi oleh mantel (cape) dan dikatakan boleh ditanggalkan untuk dijadikan sebagai sejadah.

Belum reda isu kemunculan baju Melayu ‘Thor’ itu, artis tersebut memperkenalkan pula baju Melayu berlengan pendek yang dipromosikan melalui laman Instagramnya enam hari lepas.

Ini bukan kali pertama rekaan pelakon terbabit mencuri perhatian ramai. 

Tahun lepas, baju Melayu rekaannya, Qurta Saputra turut diperkatakan sehingga digelar warga internet sebagai baju Melayu “menyusu badan”.

Selain Erry Putra, baju Melayu rekaan selebriti terkenal, Aznil Hj Nawawi bersama Razman Razmi tidak terkecuali menjadi bahan gurauan warga internet. 

Rekaan baju tersebut disamakan sebagai “dress” kerana didatangkan bersama samping yang sedondon.

Pada tahun-tahun sebelum ini, pelbagai lagi rekaan baju raya yang unik diketengahkan seperti 'jubah sado', baju Melayu ‘swimsuit’, baju raya Hello Kitty dan sebagainya. 

Dengan wujudnya rekaan fesyen unik sebegini, ramai tertanya-tanya adakah ia benar-benar dipasarkan kepada pengguna atau hanya sekadar gimik?

Malaysiakini mendapatkan ulasan dua pereka fesyen mengenai fenomena tersebut.

Rico Rinaldi, nama yang tidak asing lagi dalam dunia fesyen Malaysia, mengatakan rekaan-rekaan tersebut hanyalah sebagai gimik pemasaran.

“Saya ada terdengar dan tahu mengenai rekaan-rekaan tersebut. Selain ingin menjadi jenama yang berbeza dari orang lain, bagi saya ia hanyalah gimik pemasaran.”

“Selaku pereka fesyen, apabila saya ingin mengeluarkan apa-apa pun rekaan, saya harus memikirkan tentang keselesaan pelanggan yang akan memakainya,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Melalui pengamatannya, kebanyakan mereka yang mengeluarkan rekaan ‘unik’ masih baru di persada fesyen.

“Melalui strategi pemasaran sebegini, mereka mendapat perhatian serta publisiti yang diperlukan untuk memasarkan produk mereka,” jelasnya lagi.

Rekaan berani tapi...

Menurutnya lagi, rekaan-rekaan unik sebegini tidak bertahan lama dalam pasaran kerana tidak semua orang mempunyai keyakinan untuk menggayakannya.

“Sebagai seorang pereka fesyen, anda perlu tahu bahawa fesyen adalah mengenai perniagaan dan memenuhi pelbagai keperluan pelanggan adalah lebih baik berbanding hanya sekumpulan tertentu.”

“Rekaan-rekaan unik ini sememangnya berani, tapi tidak semua orang ada keberanian untuk menggayakannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengasas bersama Raf Mishal, Muhammad Razeen Mutazah berkata rekaan baju Melayu yang terlalu ‘unik’ sukar diterima pelanggan.

“Kebanyakan pengguna lebih menyukai rekaan asli baju Melayu yang didatangi dengan 3 poket serta lima butang. Apa yang berbeza hanyalah potongan dan warna sahaja,” ujarnya.

Dia juga tidak menolak kemungkinan rekaan tersebut hanyalah sebagai strategi pemasaran.

“Kemungkinan besar baju Melayu yang ingin diketengahkan bukanlah seperti yang ditularkan, tetapi rekaan selain itu,” ujarnya lagi.

Melalui pengamatan katanya, dapat diperhatikan bahawa terdapat dua kumpulan dengan cita rasa berbeza terhadap baju Melayu.

Misalnya ada yang meminati baju melayu klasik, iaitu baju Melayu dengan tiga poket dan ada pula meminati baju Melayu moden yang didatangkan satu poket sahaja.

“Untuk keluaran pertama baju Melayu Raf Mishal, kami mengeluarkan dua jenis rekaan iaitu yang klasik dan juga moden sambal mengekalkan potongan slim fit,” ujarnya.

Namun begitu, Razeen berkata potongan slim fit agak sukar untuk digayakan dan mempunyai masalah untuk melipat bahagian lengan ketika mengambil wuduk.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS