Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Gene Martin Shafer telah mengembara ke merata pelusuk dunia dan pada usia 69 tahun - kira-kira dua tahun lalu - dia menemui cinta agungnya.

Dengan ketinggian 195 cm dan cara berjalan yang tegap, lelaki kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu mudah mencuri perhatian.

Sekali imbas pasti tiada siapa yang menyangka usianya sudah menjengah 71 tahun.

Martin, atau nama Islamnya G Martin Qalbun Saleem Shafer, merupakan pelumba basikal untuk beberapa kelab di England ketika berusia 30 tahun sebelum mengambil keputusan untuk mengembara.

Antara negara yang sudah dijejakinya ialah Jepun, Rusia, Mexico dan sejumlah negara Eropah dan kemudian berpindah ke Australia pada 1999.

“Sepanjang hidup, saya lalui setiap detik dengan gembira, saya hargai kehidupan. Saya banyak berjalan ke seluruh dunia.

“Saya mengembara secara darat di Australia, antaranya dengan menggunakan recumbent bike sejauh 21,000 kilometer selama 22 bulan.

“Kemudian saya mengembara lagi sejauh 140,000 kilometer dalam tempoh tujuh tahun menaiki pacuan empat roda dan bermalam dalam khemah,” kata Martin ketika berkongsi kisah hidupnya kepada Malaysiakini di Masjid Negara minggu lalu.

Mengenakan jubah dan kopiah kuning, tutur bicaranya lembut menjawab soalan yang diajukan. Ketika itu, dia baru saja selesai menunaikan solat sunat dua rakaat.

Martin telah berpisah dengan isterinya 12 tahun lalu dan tidk dikurniakan anak. Dalam pencariannya, dia pernah menganut beberapa agama sebelum akhirnya memilih Islam sebagai 'cinta agungnya'.

Temui Islam dalam kembara

Dia ketika itu dalam pengembaraan di Australia. Seorang kawan bernama Muhammad Asad menghadiahkan senaskah terjemahan Al-Quran kepadanya.

Dia masih ingat tarikh itu - 27 September 2017 - tanggal bermulanya perubahan dalam kehidupan rohaninya.

Sepanjang Oktober, katanya, dia tidak henti menekuni naskah tersebut dan mula tergerak untuk menjadi seorang Muslim.

"Pada 27 November, saya mengucap dua kalimat syahadah selepas sembahyang Asar di sebuah masjid di Victoria Park, Australia.

“Sangat lega dan tidak mampu gambarkan dengan kata-kata. Memeluk Islam adalah perkara paling hebat hidup saya.

“Saya seperti lahir semula, gaya hidup lama saya telah mati. Gene yang hidup liar di pedalaman Australia menjadi Martin yang lahir semula sebagai muslim,” katanya.

Selepas itu, kata Martin, dia mula belajar tentang Islam secara lebih mendalam, selain tidak meninggalkan sembahyang lima kali sehari.

"Terima kasih Allah kerana memberikan hidayah dan membenarkan saya menjadi hamba-Nya. Terima kasih Allah kerana menguji saya dengan kesedihan dan kesakitan, tanpa Islam saya tak yakin dapat melaluinya.

"Di setiap nafas dan degup nadi saya berterima kasih kepada Allah kerana membenarkan saya hidup. Saya bukan sesiapa tanpa-Nya."

Takdir Martin di Malaysia

Martin beberapa kali mengunjungi Malaysia untuk mengunjungi kawan lamanya - bernama Rahmah dan Sulaiman - yang dikenali ketika menuntut jurusan perniagaan di Indiana University bloomington di AS pada pertengahan 1980-an.

Dia kini menjadi sukarelawan di Masjid Putra di Putrajaya - bertanggungjawab memberi penerangan berkenaan masjid itu kepada pelancong asing.

Kehadirannya ke negara ini juga menemukannya dengan satu lagi 'cinta' - isterinya yang baru dinikahinya awal bulan ini.

Dia mengenali Maimunah Ghani, 68, awal tahun ini ketika mencari tempat tinggal di Putrajaya.

"Tempoh perkenalan sangat singkat. Banyak perkara berlaku... Kami percaya Allah telah mentakdirkan kami untuk bersama," katanya sambil tersenyum.


Nota editor: Tulisan ini bahagian kedua daripada siri kembara rohani memeluk Islam yang disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan 2019. Jika anda mempunyai kisah menarik atau pandangan untuk dikongsi, sila hubungi wartawan kami Anne Muhammad melalui e-mel [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS