Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KTMB seru pengguna beli tiket awal elak kesesakan

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyeru orang ramai agar segera menempah tiket kereta api sempena perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad Mohd Rani Hisham Samsudin berkata pihaknya telah menyediakan sejumlah 555,820 tiket tren bagi destinasi perjalanan merangkumi semua jajaran perkhidmatan syarikat itu sepanjang tempoh perjalanan dari 1 Mei hingga 16 Jun 2019.

“Penjualan tiket buat masa sekarang bagus tetapi belum mencapai sasaran jualan iaitu jumlah yang terjual setakat semalam ialah sebanyak 337,869 tiket.

“Perkara seperti ini biasa berlaku setiap kali musim perayaan apabila kebanyakan pengguna akan membeli tiket pada saat-saat akhir dan mereka akan mengalami masalah apabila kaunter dan sistem online mulai sesak serta kehabisan tiket,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘MyRailtime’ di KL Sentral hari ini.

Selain itu, pihak KTM Berhad juga menjangkakan untuk menambah kekerapan tren serta tiket tambahan jika mendapat permintaan tinggi daripada pengguna pada waktu puncak.

“Kami akan tambah kekerapan tren tetapi ia hanya akan dilakukan apabila hasil jualan tiket sudah mencapai 80 peratus ke 85 peratus dan kami juga akan mempertimbangkan untuk menambah kadar jualan tiket sekiranya mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Perjalanan perkhidmatan KTM Berhad pada musim perayaan Aidilfitri ini merangkumi 36 perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan 49 perkhidmatan kereta api KTM Antarabandar (KTM Intercity).

Beliau berkata bagi perjalanan perkhidmatan ETS untuk tarikh-tarikh antara 24 dan 30 Mei (peak period), sebanyak 39,226 tiket masih dijual manakala pada 31 Mei dan 9 Jun (super peak period) pula terdapat sejumlah 29,485 tiket masih ditawarkan.

Bagi tiket KTM Antarabandar, sebanyak 49,389 masih dijual bagi perjalanan balik raya dan tiket pada 24 dan 30 Mei (peak period) berbaki 14,084 serta pada pada 31 Mei dan 9 Jun (super peak period) pula hanya berbaki 15,491 tiket.

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai tiket diminta melayari laman media sosial KTMB iaitu KTM Berhad (Facebook), @ktm_berhad (Twitter) dan @ktmbofficial (Instagram) atau menghubungi pusat panggilannya di talian 03-22671200 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS