Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kawalan keselamatan 3 kuil Hindu terkenal diperketat
Diterbitkan:  May 17, 2019 1:28 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Kawalan keselamatan tiga tempat ibadat di bawah pengurusan badan Sri Maha Mariamman Devastahanam (SMMTD) diperketat susulan penahanan empat individu yang merancang untuk menyerang rumah-rumah ibadat.

SMMTD merupakan badan yang menguruskan Kuil Batu Caves Sri Subramaniyar, Sri Maha Mariamman di Jalan Tun HS dan Kuil Sri Ganesha di Jalan Pudu Ulu yang merupakan tempat ibadat terkenal bagi penganut Hindu.

Menurut jurucakap SMMTD, pihaknya sudah menempatkan pengawal keselamatan di tiga kuil berkenaan dan telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Kami mengambil serius dengan penahanan dan motif mereka yang merancang untuk mensasarkan tempat-tempat ibadat dan pusat hiburan bagi membalas dendam terhadap kematian anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan kuil Seafield tahun lepas," kata badan itu dalam kenyataan media hari ini.

Jurucakap itu berkata pihaknya bimbang keselamatan lebih kurang 3,000 pelancong yang datang ke kuil Batu Caves setiap hari dan jumlah ini tidak termasuk penganutnya.

Antara langkah keselamatan diambil termasuk pemeriksaan ketat terhadap beg dibawa pelancong dan memantau tingkah laku individu mencurigakan.

"Kami juga meminta para penganut untuk memerhatikan individu-individu yang mecurigakan bila mereka berada di kuil dan digesa melaporkan kepada pegawai keselamatan atau kakitangan kuil yang ada di sana," tambah beliau.

Isnin lalu Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan empat lelaki yang dikaitkan dengan pengganas IS ditahan awal bulan ini berhubung plot menyerang rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Hamid berkata, keempat-empat suspek mengaku menganggotai kumpulan 'wolf pack' IS dan merancang serangan untuk "membalas dendam" terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib yang terkorban akibat rusuhan di kuil Seafield USJ, tahun lalu.

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun, dengan seorang warga Malaysia - dipercayai ketua kumpulan - dan seorang lagi warga Indonesia, manakala dua lagi etnik Rohingya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS