Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menunggu lama untuk membawa projek besar ke Kelantan bagi memastikan negeri itu terus menerima arus pembangunan dan sebagai bukti negeri ini telah “dihadiahkan” lima projek mega selepas hanya setahun PH berkuasa.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata perkara ia membuktikan Kelantan sama sekali tidak dipinggirkan kerajaan Persekutuan yang mahukan negeri ini maju seperti negeri lain.
"Alhamdulillah sepanjang setahun kita memerintah kita akan melaksanakan projek pembangunan khususnya di Kelantan seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.
"Kelantan merupakan negeri tumpuan oleh kerajaan pusat (PH) dari segi peruntukan pembangunan selain Perlis, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Satahun PH Memerintah dan Majlis Berbuka Puasa di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra antara projek mega di negeri itu bakal dilaksanakan selain tiga projek lain iaitu pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli dan Lebuh Raya Central Spine Road sepanjang 123 kilometer dan pembinaan Jambatan Palekbang di Kota Bharu.
Mohd Radzi berkata projek-projek itu sedang dilaksanakan di peringkat awal oleh pihak-pihak terlibat iaitu mengenalpasti kaedah pelaksanaan.
"Ia satu berita baik kepada rakyat Kelantan dan kita (PH) cuba sedaya upaya membawa pembangunan di negeri ini supaya ia terus dibangunkan lebih baik daripada pemerintahan Pusat sebelum ini.
"Projek ini secara tidak langsung bakal meningkatkan ekonomi negeri ini dan sekaligus memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata PH pusat dan Kelantan telah dan bakal menyusun strategik lebih teratur untuk memperkuatkan parti gabungan itu di negeri ini.
"Jika kita lihat selepas Pilihan Raya Umum (PRU14) kami telah meyusun langkah yang lebih ke hadapan bagi menghadapi PRU-15 walaupun mempunyai kekangan berada di negeri bukan diterajui oleh PH.
"Kami akan mencari keadah terbaik untuk mempertingkatkan sokongan rakyat negeri ini terhadap pemerintahan PH, " katanya.
- Bernama