Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengakui wujud kemungkinan salah laku dan kecuaian terhadap pihak pengurusan yayasan itu sejak beberapa tahun yang lepas.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim yang baru Dr Mohd Daud Bakar berkata pandangan itu diperoleh selepas meneliti laporan audit luar oleh firma PwC.
“Berdasarkan laporan kepada firma PwC dan juga dapatan daripada inisiatif pihak LPA sendiri yang melakukan pemantauan dan interaksi dengan pihak pengurusan secara berterusan sejak Nov 2018.
“Pihak LPA Yapeim mengenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pihak pengurusan Yapeim sejaka beberapa tahun yang lepas,” kata Mohd Daud dalam sidang media di pejabat Yapeim di Kuala Lumpur, hari ini.
Untuk rekod PwC juga sebelum ini pernah membuat audit untuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan 1MDB.
Isnin lalu, portal The Malaysia Insight melaporkan Yapeim mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya Ar-Rahnu yang melibatkan 1,000 pelanggan.
Selain itu, portal itu memetik dokumen sulit kerajaan yang menunjukkan kerugian berlaku apabila Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.
Laporan itu juga menyatakan beberapa kilogram emas hilang susulan transaksi meragukan.
Yapeim juga berhadapan dengan dakwaan penyalahgunaan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2017.
Bagaimanapun, Yapeim menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah.
Mohd Daud yang dilantik ke jawatan LPA Yapeim November tahun lalu mengakui agak bimbang dengan semua dapatan daripada juruaudit berkenaan namun gembira kerana urusan itu dapat diselesaikan mengikut cara yang profesional.
“Langkah ini perlu memulakan fasa pemulihan Yapeim di atas landasan tadbir urus yang Iebih mampan dan berintegriti sesuai dengan peranan Yapeim sebagai pencetus social enterprise, aktiviti amal jariah dan kebajikan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.
Penstrukturan semula
Jelas Mohd Daud, pengurusan Yapeim sudah meneliti berhubung isu-isu dibangkitkan seperti bonus tinggi dinikmati pengurusan kanan, isu bayaran peguam, dan dakwaan kerugian Ar-Rahnu.
“Sejak November 2018, pihak lembaga yang baru sudah meneliti kesemua hal berkaitan dan pelbagai lagi isu dan sudah mengambil tindakan sewajarnya.
“Setiap salah laku dan ketirisan dilakukan oleh mana-mana pihak dalam Yapeim pada masa sekarang atau lepas akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya berdasarkan peraturan dalaman Yapeim dan undang-undang Malaysia,” katanya.
Menurutnya, satu sidang media khusus akan dilakukan pada Selasa depan, bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan media, mengaitkan Yapeim.
Dalam sidang media hari ini juga, Mohd Daud turut mengumumkan penstrukturan semula jawatankuasa khusus dibawah LPA Yapeim bagi menambah baik tadbir urus serta imbang dan semak yayasan itu.