Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam temu bual Malaysiakini dengan mangsa dan saksi rusuhan 13 Mei 1969, kebanyakan mereka berdepan kesukaran untuk menceritakan pengalaman masing-masing.

Ada yang menangis semasa temu bual, ada yang mengaku langsung tidak pernah bercakap mengenainya, sehinggalah sekarang.

Seorang lelaki Melayu berusia 70 tahun berkata, dia tidak pernah memberitahu keluarganya bagaimana dia menawarkan diri sebagai ganti untuk dibunuh demi menyelamatkan sebuah keluarga Cina yang dikerumuni perusuh Melayu.

Dia menangis menceritakan bagaimana dia mengoyak bajunya dalam kejadian mencemaskan itu. Lima puluh tahun kemudian, akuinya, dia masih tidak faham kenapa dia bertindak sedemikian.

Dia telah mencuba bermacam-macam cara untuk melupakan kenangan pahit tersebut, tetapi setiap kali pergi berhampiran lokasi kejadian, dia masih dihantui imbasan-imbasan pada waktu itu.

Dalam satu temu bual lain, seorang perempuan berusia kira-kira 70 tahun, beberapa kali terhenti untuk menenangkan dirinya ketika menceritakan hari dia mendapat tahu bahawa neneknya, ibunya dan adik-beradiknya, yang berumur 18, 14 dan 10 tahun, terkorban dalam rusuhan itu.

Gambar ini diambil dua dekad sebelum 13 Mei, 1969. Sebahagian dari mereka terkorban dalam rusuhan tersebut. Keluarga ini tinggal di Kampung Baru.

Apabila pulang ke Kuala Lumpur selepas 13 Mei, dia menemukan anggota badan adiknya di bawah rangka rumah mereka yang telah terbakar. 

Dia tidak berjaya melupakan kejadian itu. Dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu melupakan ahli keluarganya yang terkorban dalam insiden tersebut.

Dia tak pernah berbicara soal 13 Mei dengan adik-beradiknya yang masih hidup. Apabila topik itu dibangkitkan sesiapa dalam perbualan, dia akan susah tidur. Bahkan, dia pernah diganggu perasaan ingin membunuh diri.

"Walaupun berpuluh tahun sudah berlalu, saya masih tak berani untuk berfikir, bercakap atau bertanya berkenaan insiden tersebut. 

"Kerana hanya memikirkan mereka sudah amat memedihkan," katanya. 

Seperti saksi mata lelaki di atas, beliau juga gagal untuk memadam memori pahit dari 13 Mei. 

Seorang saksi mata menyimpan cermin mata yang sudah pecah, kepunyaan ibunya. Dia menjumpai cermin mata itu di rumah mereka yang terbakar semasa rusuhan 13 Mei. Dia juga terjumpa jasad adiknya di situ.

Pada masa yang sama, beliau risau jika beliau berjaya memadam kepahitan itu, memori keluarga tersayang yang terkorban pun akan turut terhapus dan tiada lagi yang akan mengingati mereka. 

Sehingga hari ini, keluarga mangsa menyimpan barang-barang kepunyaan mangsa yang dijumpai di rumah mereka -- buku latihan sekolah kepunyaan adik-adiknya, lukisan mereka, baju neneknya dan cermin mata ibu yang telah pecah.

Barang-barang ini digunakan sebagai bukti yang mereka pernah wujud. 

Setengah abad telah berlalu, tiada lagi ancaman keselamatan terhadap kedua-dua saksi ini. Tetapi kedua-duanya tetap bertegas untuk tidak dinamakan, mungkin kerana trauma mereka masih terlalu menghantui diri.

Banyak berahsia, banyak benda tak jalan

Tidak bercakap tentang trauma yang dialami boleh menyebabkan mangsa terus terperangkap dalam pengalaman hitam mereka. Menurut ahli psikologi klinikal K Vizla, hal itu disebabkan mangsa tidak dapat memberikan penjelasan kepada diri sendiri tentang kejadian yang menimpa diri mereka.

“Cuba melupakan sesuatu memori adalah kerja sia-sia. Malangnya, itulah yang dilakukan oleh ramai orang dan itu menyebabkan masalah psikologi kepada mereka. Melupakan bukan satu cara yang baik untuk mengendalikan trauma,” katanya.


Malaysiakini sedang mengumpul sejarah lisan berkenaan insiden 13 Mei. Kongsi cerita anda di sini. 


Oleh hal yang demikian, Vizla percaya, adalah penting untuk kerajaan menggalakkan perbicangan 13 Mei bagi memecahkan kebisuan yang selama ini menyelubungi topik itu.

“Terlalu banyak rahsia berhubung insiden 13 Mei. Banyak berahsia menyebabkan banyak perkara gagal berfungsi.

“Semakin lama isu itu terus didiamkan, semakin sukar untuk mangsa pulih daripada trauma mereka,” katanya lagi.

Ini adalah satu-satunya gambar mangsa berumur 14 tahun ini. Mendiang, yang duduk di kiri, tinggal di Kampung Baru ketika rusuhan 13 Mei. Kakaknya meminjam gambar ini dari kawan mendiang untuk dibuat salinan.

Tambah Vizla lagi, perbincangan itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada mangsa, malah ahli keluarga mereka yang turut mewarisi secara tidak langsung daripada mangsa.

“Trauma itu berlarutan hingga beberapa generasi. Kita semua perlu sama-sama cuba untuk pulih,” katanya.

Trauma dan radikalisasi

Trauma boleh dimanifestasikan dalam beberapa cara.

Datuk Abdul Rahman Mohd Noor merupakan pelajar universiti berusia 21 tahun ketika rusuhan itu berlaku. Dia tinggal di Kampung Baru, kawasan panas 13 Mei dan menyaksikan sendiri serangan yang dilakukan oleh perusuh di tempat kejadian.

Membesar dalam persekitaran berbilang kaum, dia mempunyai ramai kawan daripada kaum lain dan tidak pernah mempunyai syak wasangka terhadap orang bukan Melayu.

“Tetapi oleh kerana tragedi 13 Mei ini, saya dan ramai lagi rakan-rakan saya yang muda, rasa begitu marah sekali. Orang kata, perasaan kemelayuan kami begitu membuak-buak sekali.

“Dua ke tiga tahun selepas insiden itu, saya menjadi seorang yang sangat panas baran. Apabila melibatkan hak dan kepentingan orang Melayu, tiada kompromi!” katanya.

Datuk Abdul Rahman Mohd Noor pelajar universiti berumur 21 tahun yang tinggal di Kampung Baru ketika rusuhan 13 Mei. Insiden keganasan yang disaksikannya membuatkannya lebih radikal dalam pemikiran.

Tanpa saluran yang betul untuk menyalurkan rasa tidak percaya yang dirasainya, ia memakan masa bertahun-tahun buat Rahman mengatasi perasaan tersebut.

“Tetapi semakin lama, saya semakin sedar, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi,” katanya lagi.

Jadi senjata politik

Ahli akademik Por Hong Heong yang banyak menulis tentang rusuhan 13 Mei, meminta lebih banyak ruang disediakan supaya mangsa dapat bercakap mengenai pengalaman mereka.

Dalam temu bualnya bersama mangsa dan keluarga mereka, dia mendapati ramai daripada mereka masih dihantui oleh memori lampau. Oleh kerana mereka tidak dapat berbincang mengenai pengalaman mereka, mereka dihantui rasa bimbang tentang kemungkinan berulangnya rusuhan seperti 13 Mei.


Baca lagi: 13 Mei, moga tak berulang


Pengkaji itu menegaskan, budaya berdiam diri berhubung 13 Mei sedikit sebanyak disebabkan oleh wujudnya ahli-ahli politik yang mempergunakan tragedi itu sebagai “senjata” mereka.

“13 Mei dijadikan satu simbol untuk mengugut orang lain oleh sesetengah ahli politik. Contohnya, ‘kalau kau undi parti itu atau orang itu, kau akan mengundang banyak masalah’.

“Ia sudah menjadi simbol keganasan, dan tak ada siapa yang dibenarkan untuk bercerita naratif yang berbeza daripada sumber rasmi,” katanya.

 Kekurangan ruang selamat (untuk perbincangan), ditambah lagi dengan kebisuan mangsa yang terlibat, menyebabkan orang awam terutamanya generasi muda tidak dapat memperoleh pemahaman mendalam tentang 13 Mei dan mengapa ia perlu dielak daripada berulang.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kekurangan maklumat terperinci yang merekodkan rusuhan tersebut di arkib negara dan perpustakaan-perpustakaan awam.

Gambar, buku dan keratan surat khabar berhubung kejadian itu hanya mula memasuki koleksi arkib negara pada awal tahun 2000.

Insiden itu tidak diceritakan secara terperinci dalam silibus sejarah di sekolah-sekolah kebangsaan, biarpun ia memberi kesan berpanjangan terhadap sejarah dan penggubalan dasar sehingga kini.

Kisah yang kian luput

Stigma tragedi itu telah menyebabkan banyak kisah 13 Mei terselindung daripada diceritakan. Perkara itu terjadi apabila ramai mangsa, saksi dan ahli keluarga kepada mereka yang terkorban, masih tidak sanggup untuk berkongsi pengalaman mereka.

“Kisah-kisah inilah yang hilang dalam naratif penceritaan 13 Mei. Pengalaman manusia yang berdepan sendiri dengan insiden itu.

“Siapa orang-orang itu? Apa terjadi kepada mereka selepas 13 Mei?” soal Por.

Seorang pelajar sekolah maut dalam rusuhan 13 Mei, sebelum sempat mengambil trofi yang dimenanginya di sekolah. Kakaknya menerima trofi tersebut bagi pihak mendiang, sambil berjurai air mata. Keluarga mendiang mengingatinya sebagai seorang 'all-rounder' -- berjaya dalam akademik, seni dan sukan.

Kebanyakan daripada mereka semakin menginjak tua, dan sejajar dengan itu, peluang untuk melihat sendiri insiden 13 Mei melalui jendela pengalaman mereka, semakin lama semakin tertutup.

Buat sesetengah saksi seperti Abdul Rahman, peredaran masa telah mencetuskan keinginan untuk berkongsi pengalamannya, terutamanya dengan generasi muda Malaysia.

Bagi seorang lagi saksi berusia 70 tahun yang tidak mahu dinamakan, dia terpanggil untuk menceritakan pengalamannya setelah sekian lama, apabila terdengar ada golongan muda mengugut untuk mencetuskan ‘satu lagi 13 Mei’.

“Orang macam kami tak mahu bercakap tentang hal ini, kami lebih rela berdiam diri dan berharap ia takkan terjadi lagi.

“Satu-satunya sebab saya bercakap tentangnya adalah kerana saya merasakan dah sampai masanya. Banyak saksi kejadian itu telah meninggal dunia.

“Saya mahu cerita saya ini menjadi pengajaran. Harapan saya, kejadian itu jangan pernah dibiar terjadi lagi,” katanya.


Annabelle Lee, M Fakhrull Halim, Tham Seen Hau and Aidila Razak menyumbang untuk menyiapkan artikel ini. 

Malaysiakini sedang mengumpul sejarah lisan berkenaan insiden 13 Mei. Kongsi cerita anda di sini. 

Baca artikel berkaitan

13 Mei, moga tak berulang

Kisah Mohsin dan Michael Chang setelah reda api 13 Mei

Kenangan 13 Mei: Dari rumah Datuk Harun ke Chow Kit

50 tahun insiden 13 Mei, di mana jalan perdamaian?

Gadai nyawa selamatkan jiran pada 13 Mei 1969

Pembunuhan dan haru-biru di Kampung Baru


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS