Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini


Nota editor: Sempena 50 tahun rusuhan 13 Mei, Malaysiakini menerbitkan beberapa siri artikel berkaitan tragedi itu dan usaha-usaha memulihkannya. Artikel-artikel yang disiarkan mempunyai keterangan bergambar berkaitan keganasan yang berlaku. 


“Tangannya ditetak,” ujarnya menceritakan apa yang pernah dilihatnya dengan mata kepala sendiri.

Siapa yang ada pengalaman menyaksikan kejadian menggerunkan serupa ini? Tidak ramai.

Tapi bagi seorang saksi mata tragedi berdarah 13 Mei 1969, biarpun kejadian itu sudah 50 tahun berlalu, ia masih menghantuinya sehingga sekarang.

Dia tinggal tidak jauh daripada rumah menteri besar Selangor (ketika itu), Harun Idris di Kampung Baru.

“Di Jalan Raja Laut (masa itu) boleh dikatakan macam medan perang. Beberapa kenderaan dibakar.

“Yang saya masih ingat sampai sekarang, sebuah kereta Mercedes warna putih, disekat di depan rumah rasmi MB (menteri besar) sendiri. Saya ingat lagi dia melaung, ‘Tolong! Tolong! Saya MCA! Saya MCA!’.

“Tangannya ditetak. Bayangkan. Saya masa itu baru berumur 21 tahun. Inilah pertama kali saya lihat (kejadian seumpama itu),” kata lelaki berusia 71 tahun itu.

Ini cerita Abdul Rahman Mohd Noor, seperti yang diceritakan kepada Malaysiakini.


Sebelum tragedi berdarah

Pada masa itu, saya berumur 21 tahun. Masa itu saya baru balik daripada mendaftar sebagai mahasiswa di Universiti Malaya (UM), dalam Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Sebelum insiden itu berlaku, kita baru selesai pilihan raya umum (PRU). Selangor ini, boleh dikatakan jumlah ahli-ahli Umno dengan pembangkang ini lebih kurang sama, seimbang. Sebelum PRU, banyaklah ucapan berapi-api dibuat.

PRU ke-3 berlangsung pada 10 Mei 1969.

Hadirin di sebuah ceramah di Kuala Lumpur semasa kempen pilihanraya 1969.

Pada hari 13 Mei itu, saya ada seorang rakan, namanya Harun Salim. Rakan karib sejak ITM (Institut Tekonologi Mara) lagi. Memang rapat. (Di UM), kami menuntut di fakulti yang sama, dia ambil Analisis Ekonomi, saya ambil Pengurusan. Dia ada motosikal Honda Cup.

Sejak ITM lagi, kami pergi merata-rata naik Honda Cup itu. Jadi pada pagi itu dia ambil saya dekat rumah saya di No. 24 Jalan Watson (kini Jalan Haji Yahya), hanya 100 meter daripada kediaman rasmi Datuk Harun Idris.

Bila kami dah selesai mendaftar (di UM), kami makan tengah hari, dan sebelum balik, kami bercadang hendak menonton filem di pawagam Rex, di Jalan Petaling. Masa itu keadaan di Foch Avenue dah memang tak berapa tenteram.

Nasib baiklah kami dinasihatkan oleh seorang pemandu teksi, yang beria-ia suruh kami balik rumah. Jangan (tengok wayang), katanya kemungkinan ada rusuhan. Saya patut berterima kasih kepada pak cik itu. Oleh kerana dia memang begitu beria-ia, kami pun balik.

Kepulan asap naik ke langit Kuala Lumpur semasa rusuhan 13 Mei. 

Harun Salim hantar saya balik pada lebih kurang pukul 3 petang. Dia balik ke kediaman bapa dia di kuarters kerajaan Jalan Peel. Saya balik ke rumah saya di Jalan Watson. 

Lebih kurang pukul 4.30 petang, saya terdengar ada kenderaan dua ke tiga kenderaan yang berlegar di kawasan Kampung Baru dengan pembesar suara menyebut semua kaum lelaki untuk berkumpul di kediaman rasmi MB. Dalam pada itu juga, memberi nasihat supaya anak-anak, kaum ibu dan wanita supaya tidak keluar rumah.

Tujuan hendak berkumpul itu adalah untuk memberi petunjuk balas kepada kaum-kaum lain yang kaum Melayu di kawasan Kampung Baru itu hatinya telah terguris oleh perbuatan sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab.

Di sebelah kaum Cina India, apabila keputusan PRU diketahui, ada beberapa kumpulan parti (pembangkang) menaiki lori dengan membawa bendera (parti politik) masing-masing. 

Ketika itu ada beberapa orang mengatakan perkara-perkara yang tak sedap didengar, seperti “Melayu! You sudah kalah, pergi balik kampung. You tak guna lagi sini. Pergi balik kampung!” Lebih kurang begitulah.

Perarakan parti pembangkang, menurut gambar yang diterbitkan dalam buku tulisan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. 

Mereka berlegar antara Jalan Raja Laut masuk ke Jalan Hujung Pasir. Saya tengok depan mata sendiri, mendengar apa mereka kata. Yang paling saya rasa tak boleh terima, apabila dalam dua ke tiga orang India dalam lori tersebut yang menunjukkan kemaluan. Yang ini saya rasa kita tak boleh terimalah.

Saya rasa itulah sebabnya masyarakat Kampung Baru mengatakan bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan tanpa kita memberitahu yang kita juga mempunyai hak. Sungguhpun kita kalah, bukanlah bermakna kita terpaksa menyerahkan semuanya.


Baca lagi: 13 Mei, moga tak berulang


Saya rasa mereka merancang untuk memulakan perarakan pada pukul 5 atau 5.30 petang. Tapi pada pukul 4.30 petang sahaja, saya rasa sudah ada dalam seratus ke dua ratus orang yang berkumpul dekat kediaman MB.

Kalau daripada pemerhatian saya, memang Datuk Harun bersetuju untuk diadakan perarakan balas (terhadap perarakan pembangkang selepas pilihan raya umum), hendak memberitahu bahawa kami (orang Melayu) masih ada di sini. Jangan main-main. Kami takkan ke mana-mana. 

Ia sepatutnya dijalankan secara aman, tetapi terdapat juga orang yang membawa senjata. Mereka nak berarak dari Jalan Raja Laut itu pergi ke Chow Kit Road. Itulah (sepatutnya) rancangannya, saya diberitahu (begitu).

Tetapi ada juga daripada mereka yang sudah bersemangat sangat. Mereka sendiri pergi (kerana marah dengan ejekan kaum lain). Tapi kalau dikatakan tragedi itu dirancang, pada pandangan saya, tidak ada perancangan untuk merusuh. Ia merebak luar daripada kawalan.


Malaysiakini sedang mengumpul sejarah lisan berkenaan insiden 13 Mei. Kongsi cerita 13 Mei anda di sini.


(Ada satu kejadian), ketika saya nak ke Jalan Raja Laut, jalan itu boleh dikatakan dah jadi macam medan perang. Beberapa kenderaan dibakar. Yang saya masih ingat sampai sekarang, adalah sebuah kereta Mercedes, warna putih. Dia telah disekat di depan rumah rasmi MB sendiri. 

Dan saya ingat lagi dia melaung, ‘Tolong! Tolong! Saya MCA! Saya MCA!”. Tapi tangannya ditetak. Saya masa itu baru berumur 21 tahun. Bayangkan. Inilah pertama kali yang saya lihat (kejadian seumpama itu).

Memang trauma. Sesetengah daripada mereka itu, kereta mereka dibakar. Mereka dicederakan, ada setengah daripada mereka tergelimpang dalam longkang, dalam dua ke tiga orang. Mengerang, mengerang kesakitan. Minta tolong.

Rumah di Kampung Baru rentung. Gambar ini diambil sejurus selepas insiden 13 Mei.

Pada sebelah malamnya pula, ada dua tiga rumah, yang budak-budak kecil dan golongan wanita yang histeria. Iyalah, apabila kamu tengok apa kejadian yang berlaku, saya sendiri pun memang trauma. Memang trauma. Mereka histeria. 

Masa itu sudah diisytihar perintah berkurung- kecemasanlah. Jadi bapa sayalah yang terpaksa menyorok-menyorok pergi ke rumah itu, kerana tiada siapa orang lain yang boleh mengubat. Alhamdulillah, bapa saya ini dia tahu sedikit sebanyak ilmu, jadi dia dapat mententeramkan mereka (yang histeria).

Selepas 13 Mei

Ketika saya kecil, saya pernah duduk di Pulau Pinang selama enam tahun. Di sana, saya bergaul bebas. Masa itu saya darjah tiga, dan rakan-rakan saya bolehlah dikatakan ramai bukan Melayu. Saya ada ramai kawan Cina. Saya belajar sekolah rendah dan menengah di situ.

Di sana, mereka bertutur dalam dialek Hokkien, jadi masa kecil itu saya boleh juga bertutur dalam dialek itu sedikit sebanyak. Emak saya pun, dia kacukan Siam dan Cina. Dia pandai bercakap Mandarin, Hokkien dan Kantonis. Dari segi pendedahan, saya dah bercampur dengan ramai orang.

Dari segi pergaulan dan pendidikan saya, saya tidaklah begitu ultra (Melayu). Tetapi oleh kerana tragedi 13 Mei ini, saya dan ramai lagi rakan-rakan saya yang muda, rasa begitu marah sekali. Orang kata, perasaan kemelayuan kami begitu membuak-buak sekali.

Dua ke tiga tahun selepas insiden itu, saya menjadi seorang yang sangat panas baran. Apabila melibatkan hak dan kepentingan orang Melayu, tiada kompromi!

Tetapi semakin lama, saya semakin sedar, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. 

Kebencian yang dibalas kebencian, hanya akan melahirkan lebih banyak kebencian.

Saya rasa, kejadian ini jangan diberi peluang untuk diulangi. Kerajaan harus tegas.

Kalau kita (rakyat) tidak mengawal perasaan kita, (sebaliknya) menggunakan kesempatan, menggunakan perbezaan untuk mengambil kesempatan politik, perkara ini mungkin akan berlaku lagi.

Itulah ketakutan saya.

Ahli-ahli politik, seharusnya selalu berwaspada. Saya mahu kongsi kata-kata presiden kedua Filipina Manuel Quezon, “Taat setia terhadap parti berakhir sebaik sahaja taat setia kepada negara bermula.” Itu sangat penting. Ahli-ahli politik haruslah memandang (sesuatu perkara) bukan daripada kaca mata parti politik mereka, tetapi daripada kaca mata negara. 


Malaysiakini sedang mengumpul sejarah lisan berkenaan insiden 13 Mei. Kongsi cerita anda di sini.

Baca artikel berkaitan

13 Mei, moga tak berulang

Kisah Mohsin dan Michael Chang setelah reda api 13 Mei

Menyelak rahsia untuk membantu mangsa 13 Mei atasi trauma

50 tahun insiden 13 Mei, di mana jalan perdamaian?

Gadai nyawa selamatkan jiran pada 13 Mei 1969

Pembunuhan dan haru-biru di Kampung Baru


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS