Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tak pernah terlibat dengan pengurusan Yapeim'
Diterbitkan:  May 13, 2019 3:59 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Di tengah-tengah kehangatan dakwaan skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan keterlibatannya dalam skandal tersebut.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu, dia tidak pernah terlibat dalam apa juga aspek pengurusan Yapeim atau menerima apa-apa imbuhan daripadanya.

"Ramai yang berkongsi satu fitnah dengan cubaan mengaitkan dan memaparkan gambar saya dengan isu berkaitan Yapeim yang mula berlegar di media sosial mutakhir ini.

"Pada mulanya, saya hanya mahu mengabaikan isu ini sahaja kerana jelas tiada asasnya!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Dakwa Asyraf, isu Yapeim sebenarnya pernah dijawabnya di Parlimen apabila dibangkitkan beberapa tahun lalu memandangkan agensi itu berada bawah pemantauan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sejurus daripada itulah, saya mencadangkan satu pasukan khas (task force) bagi menilai aspek tadbir urus agensi-agensi agama yang dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Tadbir Urus Agensi-Agensi Agama bawah JPM ditubuhkan,” katanya lagi.

Tambahnya, ahli jawatankuasa tersebut dilantik dalam kalangan mereka yang profesional dan pakar dalam tadbir urus korporat termasuklah ahli akademik, pegawai tinggi kerajaan, akauntan, peguam, CEO pertubuhan perbankan Islam bagi memastikan kredibiliti dan integriti jawatankuasa tersebut.

“Sebuah Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) dikeluarkan [...], dan Yapeim (dicadangkan) menjadi agensi pertama yang harus diperbetulkan aspek tadbir urusnya termasuklah mengemukakan Surat Ikatan Amanah (Trust Deed) baru yang lebih komprehensif berpandukan amalan terbaik antarabangsa.

“Malah, atas persetujuan perdana menteri waktu itu, Yapeim melalui perubahan organisasi dengan dilantik pengurusan baharu untuk menerajuinya,” katanya lagi.

Kata Asyraf lagi, GTU-s adalah perkara yang diberi penekanan untuk diteruskan ketika penyerahan tugas kepada menteri dan timbalan menteri JPM yang baharu selepas perubahan kerajaan tahun lalu bagi memastikan amalan tadbir urus terbaik di kalangan agensi.

“Sering saya tekankan agensi-agensi ini perlu dilihat "whiter than white" (tidak pernah buat salah) atas harapan dan kepercayaan rakyat yang begitu tinggi kepada institusi-institusi yang berlatarbelakangkan agama.

“[...] Jika ada pihak yang cuba menjadikan fitnah sebegini untuk menutup mulut saya daripada menyuarakan isu-isu rakyat, ternyata anda silap. Insya-Allah, saya akan terus istiqamah dan terus lantang membawa suara dan isi hati rakyat [...]” katanya lagi.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata Yapeim antara agensi yang berada dalam radar pihaknya dan "tidak akan membiarkan" penyelewengan jika berlaku.

Pada 11 Mei lalu, The Malaysian Insight turut melaporkan dakwaan penyalahgunaan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan kepada Yapeim bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

Bagaimanapun, Yapeim menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah dan melibatkan jumlah yang jauh lebih kecil.

Hari ini pula, Yapeim dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.

Menurut laporan dokumen sulit kerajaan seperti dipetik The Malaysian Insight, kerugian berlaku disebabkan Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan dan laporan itu dan telah menghubungi Yapeim untuk mengulas perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS