Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin dakwa dapat restu Hadi
Diterbitkan:  May 12, 2019 9:07 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Pertembungan menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad dengan kumpulan yang digelarkannya sebagai "kartel dedak" semakin panas.

Malam ini Zaharudin menggambarkan pertikaian kedua-dua pihak itu dipertemukan oleh satu watak yang sama - Abdul Hadi Awang.

Kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu pendedahannya berhubung "kartel dedak" suatu ketika dulu mendapat restu presiden parti terbabit.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Zaharudin mendakwa kumpulan kartel terbabit mula menjalankan usaha menghasut bapa mentuanya sudah berjalan selepas dia membuat siri pendedahan mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun Zaharudin mendakwa maklumat yang disampaikan kepada Abdul Hadi ketika itu "separuh masak".

"Kartel waktu tu dah mula cucuk tok guru suruh hentikan FB saya. Macam biasa, bagi info (kepada Abdul Hadi) separuh masak, kata saya tembak sama sendiri dalam FB.

"Akhirnya saya bagi penjelasan sebab apa saya buat begitu. Dan tok guru restu dan saya tak tarik tulisan tu sampai sekarang," katanya melalui hantaran malam ini.

Isu "kartel dedak" bertambah panas hari ini apabila Zaharudin pagi tadi menyenaraikan secara simbolik lima watak utama yang didakwanya terbabit menerima wang daripada orang Umno.


Baca Nik Abduh 'tamu tak diundang' di majlis Team Lawan Jebon


Walaupun cuba menggunakan simbol atau singkatan nama, orang yang mengikuti isu itu dengan mudah mengaitkan dakwaan Zaharudin itu dengan beberapa pemimpin kanan PAS, termasuk individu yang begitu dekat dengan Abdul Hadi.

Setakat ini tiada mana-mana pemimpin terbabit tampil membuat kenyataan, dan cubaan Malaysiakini menghubungi mereka juga belum berhasil.

Dalam hantaran malam ini Zaharudin juga menamakan seorang pemimpin Pemuda PAS sebagai watak yang giat menjalankan usaha melobi untuk mendapatkan sokongan terhadap "kartel dedak".

Zaharudin juga mendakwa pemimpin Pemuda PAS itu mendapat bayaran yang lumayan atas kerja-kerja yang dilakukannya.

Pada masa sama Zaharudin menegaskan perbuatan menerima "dedak" itu sebenarnya tidak mendapat restu Abdul Hadi.

Kenyataan itu sekali gus bercanggah dengan dakwaan Anggota Parlimen Bachok dalam audio yang mengejutkan ramai orang sebelum ini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapat komen daripada pemimpin Pemuda PAS berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS